IPOH -"Pasukan yang kurang buat silap dan gunakan peluang yang ada, pasukan itu akan mara ke separuh akhir.”
Itu reaksi ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim terhadap aksi suku akhir kedua Shopee Piala FA berdepan PKNP FC di Stadium Perak, malam esok.
Abu Bakar berkata, kejayaan mengekang dan seterusnya mengikat skuad The Bos Gaurus itu tanpa jaringan pada aksi suku akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) 3 Mei lalu dilihat sebagai satu keputusan yang membanggakan.
Justeru menurutnya, kesebelasan PKNP FC perlu memanfaatkan peluang di gelanggang lawan malam ini untuk mara ke separuh akhir.
"Secara realitinya, memang Perak satu pasukan yang berada dalam kelas yang tersendiri. Ada banyak peningkatan khususnya ada kesebelasan pemainnya.
"Kesemua posisi dilihat mantap daripada segi pemain yang boleh buat hantaran, menjaringkan gol dan sebagainya," katanya.
Untuk rekod, Perak dan PKNP FC terikat tanpa jaringan pada aksi suku akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) 3 Mei lalu.
Sementara itu Abu Bakar berkata, kesebelasan skuad kendaliannya itu mampu mengekang asakan yang dilancarkan oleh jentera serangan Perak.
"Tidak dinafikan Perak adalah pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan ini dan dilihat cukup bersedia untuk mengharungi perlawanan berkenaan.
"Bagaimanapun kita akan tetap cuba untuk memberikan saingan kerana perlawanan ini adalah penentu ‘siapa’ yang akan ke separuh akhir,” katanya.