Pemimpin PH Selangor secara konsensus setuju kekalkan Amirudin

Iklan
Amirudin

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pemimpin Pakatan Harapan (PH) Selangor mengesahkan gabungan parti itu menghantar tiga nama calon Menteri Besar kepada pihak Istana Negeri Selangor.

Ini bermakna dua lagi calon selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Datuk Seri Amirudin Shari juga berpeluang untuk menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu.

Iklan
Iklan

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Ir Izham Hashim bagaimanapun berkata, gabungan parti itu secara konsensus telah bersetuju untuk mengekalkan Amirudin.

"Tiga nama (calon menteri besar) itu telah dihantar tetapi satu nama (Amirudin) yang kita setujui (secara bersama) kerana istana minta tiga nama, kita kena beri tiga nama.

Iklan

"Kita sebut secara konsensusnya kita menyokong Amirudin sebagai Menteri Besar, kita sebut begitu dalam surat (kepada pihak istana)," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Dalam pada itu, Izham menafikan dakwaan mengatakan ada pemimpin PKR Selangor terlibat dalam perbincangan berhubung perkara itu selepas berakhir pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.

Izham Hashim

Iklan

Sebaliknya beliau berkata, perbincangan mengenai calon Menteri Besar sudah selesai dibincangkan dan ia dibincangkan secara bersama dalam kalangan pemimpin PH Selangor sebelum ini.

"Memang istana minta tiga nama tetapi nama Amirudin sebagai Menteri Besar secara konsensus (dipersetujui) dari awal lagi, tiada perubahan sejak awal," katanya.

Ketika ditanya mengenai dua lagi calon selain Amirudin yang dihantar kepada pihak Istana Negeri Selangor, Izham bagaimanapun enggan mendedahkan nama calon terbabit.

"Saya tidak boleh dedahkan nama," katanya.

Difahamkan, majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar Selangor mungkin tidak berlangsung sehingga Jumaat.

Ini kerana Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang sedang pulih daripada pembedahan prostat di London baharu sahaja pulang ke tanah air.

Pada penggal lalu, pihak istana meminta lebih daripada satu nama untuk dipertimbangkan Sultan Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN Menteri Besar Selangor angkat sumpah selewatnya Isnin depan?

'Jangan terjebak spekulasi pelantikan Menteri Besar Selangor'