PENGENDALI Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain mengharapkan kebangkitan pasukannya ke atas Perak FC pada perlawanan kedua pusingan 16 Piala Malaysia 2023 di Stadium Darul Aman pada Jumaat.
Beliau mengharapkan kelebihan beraksi di laman sendiri selain mendapat sokongan padu ribuan penyokong Hijau Kuning bagi memadam kelebihan The Bos Gaurus yang mencatatkan kemenangan 3-1 pada aksi pertama di Stadium Perak, 3 Ogos lalu.
"Saya berharap perlawanan kedua bertemu Perak FC di tempat sendiri mampu dapatkan kembali kemenangan dengan jaringan melebihi agregat kerana kita mahu layak ke saingan suku akhir Piala Malaysia.
"Saya juga berharap corak permainan yang akan kita mainkan pada Jumaat ini berbeza dengan perlawanan pertama di Perak. Kali ini giliran kita pula sebagai tuan rumah," katanya semasa ditemui pada sesi latihan di Jitra dekat sini pada Rabu.
Nafuzi mengakui membawa bekalan selesa ke Alor Setar, namun beliau percaya kelebihan masih menjadi milik pasukannya yang percaya Stadium Darul Aman bakal dipenuhi lebih ramai penyokong sendiri.
Jelasnya, setiap peluang yang terhidang pada perlawanan tersebut perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh KDA FC untuk mendapatkan gol.
"Perak memiliki bekalan yang agak selesa dengan kelebihan jaringan gol, tetapi saya rasa tidak mustahil untuk mengatasi kelebihan itu.
"Kita sudah beberapa kali beraksi menentang Perak FC, jadi kita akan bersedia sepenuhnya dengan apa juga cara Perak bermain nanti," ujar beliau lagi.