KEMAMAN - Sebuah ambulans membawa seorang pesakit yang telah meninggal dunia terbalik selepas bertembung dengan sebuah trak pikap dalam kemalangan di Kilometer (KM) 1 Jalan Cukai-Air Putih di sini pada Rabu.
Mangsa, Abdul Ghani Samad, 55, disahkan meninggal dunia sebelum ambulans berkenaan terlibat nahas kira-kira jam 10.45 pagi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, pemandu ambulans, Helmi Yunus, 37, mengalami luka kecil pada lengan, manakala seorang lagi penumpang ambulans iaitu Penolong Pegawai Perubatan, Syafiq Che Mazir @ Che Mazit tidak mengalami kecederaan.
Menurutnya, kemalangan itu berlaku ketika trak pikap dipandu oleh Muhammad Idris, 59, dari Kemaman Supply Base (KSB) Teluk Kalong, di sini menghala ke Bengkel Batu 2 Kemaman untuk menghantar barang milik syarikatnya sementara ambulans dari arah Seberang Tayor menghala ke Hospital Kemaman.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu trak pikap membelok ke kanan jalan setelah lampu isyarat bertukar hijau, tiba-tiba sebuah ambulans dari arah simpang sebelah kanan masuk ke laluan trak pikap lalu terlanggar bahagian tepi belakang kiri.
"Akibat kemalangan itu, ambulans berkenaan terbabas dan terbalik ke sebelah kanan di tepi kiri jalan," katanya.
Beliau memberitahu, pesakit berkenaan telah disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan sebelum kemalangan berlaku sementara pemandu trak pikap tidak mengalami kecederaan.
"Hasil post mortem menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat ishemic heart disesase.
"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujarnya.