KAPTEN England, Harry Kane menyifatkan keputusannya berpindah ke Bayern Munich adalah untuk cuba merasai tekanan baharu memenangi piala setiap tahun.
Kane, 30, meninggalkan Tottenham Hotpsur dengan nilai perpindahan €100 juta (RM505 juta) selepas menghabiskan seluruh kariernya dengan kelab zaman kanak-kanaknya itu.
Iklan
Iklan
Bercakap kepada Sky Sports, Kane mendedahkan keinginannya untuk bermain secara konsisten di peringkat tertinggi.
"Saya perlu pergi lebih jauh dalam Liga Juara-Juara dan mendorong diri saya ke had itu,” katanya.
Kane meninggalkan Tottenham sebagai penjaring terbanyak pasukan dengan 280 gol dalam semua pertandingan, tetapi tidak menjulang sebarang trofi sepanjang berada bersama kelab utara London itu.
Tottenham tewas dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara pada 2019 kepada Liverpool, serta dua perlawanan akhir Piala Liga semasa Kane berkhidmat di kelab itu.
Juara Eropah enam kali Bayern telah memenangi 11 gelaran Bundesliga yang lalu dan menjadi pilihan untuk menjulang gelaran domestik sekali lagi musim ini.