KUALA LUMPUR - Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyasarkan jualan keseluruhan RM350 juta menerusi MATTA Fair yang akan berlangsung bermula 1 hingga 3 September depan.
Presidennya, Nigel Wong berkata, festival jualan tiket pelancongan yang akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu dijangka menarik kehadiran 200,000 pengunjung.
"Pihak kami turut menyasarkan RM70 juta bagi jualan tiket domestik.
"Pelbagai pakej dan potongan harga menarik ditawarkan kepada pengunjung yang hadir dengan kemasukan adalah percuma.
"MATTA Fair akan beroperasi dari jam 10 pagi hingga 9 malam termasuk penyediaan perkhidmatan bas percuma dari KL Sentral dan Sunway Putra Mall ke MITEC,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman Malaysia Aviation Group (MAG) sebagai rakan kongsi bagi MATTA Fair di Ibu Pejabat MATTA, Kuala Lumpur pada Rabu.
Menurut Wong, menerusi kerjasama itu, MAG turut menawarkan potongan harga sehingga 40 peratus untuk tambang penerbangan ke destinasi domestik dan antarabangsa terpilih.
Ujarnya, tawaran eksklusif berkenaan bermula dari 31 Ogos hingga 9 September ini bagi perjalanan bermula 31 Ogos 2023 hingga 31 Mac tahun depan.
"Pembelian tiket boleh dibuat di platform dalam talian syarikat penerbangan tersebut dan juga di MATTA Fair yang akan berlangsung selama tiga hari.
"Ahli setia perjalanan dan gaya hidup Malaysia Airlines Enrich turut memperoleh 50 peratus mata ganjaran bonus sepanjang tempoh berkenaan.
"Menambah lagi keterujaan, syarikat penerbangan itu juga menawarkan 37 tiket percuma termasuk Kelas Perniagaan dari London dan Sydney melalui peraduan MATTA Fair Buyer's,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial MAG, Dersenish Aresandiran berkata, inisiatif tersebut adalah salah satu usaha syarikat penerbangan itu untuk menyediakan pengalaman menyeronokkan dan bermanfaat kepada pembeli.
"Syarikat-syarikat penerbangan di bawah kita iaitu MAS dan MASwings, masing-masing menawarkan potongan 25 peratus manakala 20 peratus bagi harga tiket domestik dan antarabangsa untuk Firefly.
"Tawaran ini hanya eksklusif di MATTA Fair sahaja. Pengunjung boleh datang beramai-ramai untuk mendapatkan harga menarik tersebut,” ujarnya.