Menteri Agama nafi dakwaan sekolah agama di Selangor diarah tutup

Iklan
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Mohd Na'im

SHAH ALAM - Dakwaan lebih 200 buah sekolah agama di Selangor diarah tutup adalah tidak benar dan perkara tersebut dinafikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau berkata, isu yang tular itu tidak berasas dan tuduhan berkenaan dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Iklan
Iklan

Menurutnya, satu garis panduan pemutihan telah dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2021, bertujuan memastikan keselamatan dan kebajikan para pelajar serta seluruh warga institusi tahfiz persendirian.

"Ia ekoran kejadian insiden kebakaran sehingga melibatkan kemalangan jiwa di sekolah agama persendirian di Kuala Lumpur pada 2017,” ujarnya menerusi hantaran video di Facebook pada Khamis.

Iklan

Pengerusi Sekretariat NGO berkenaan, Datuk Nazilah Idris memaklumkan, lebih 200 sekolah agama rakyat dinafikan apabila diberikan surat amaran untuk keluar daripada premis perniagaan yang disewa.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im menjelaskan, pada masa sama, penguatkuasaan garis panduan tersebut telah mendapat kerjasama daripada Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang dianggotai 478 institusi Sekolah Agama Persendirian.

Iklan

Tambahnya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dimaklumkan sejak 2021 bahawa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui kerajaan negeri telah menetapkan pihak sekolah perlu memenuhi syarat pendaftaran menerusi garis panduan pemutihan yang dikeluarkan.

"Kelonggaran telah diberikan kepada pihak sekolah selama dua tahun. Dalam tempoh ini, pihak JAIS telah mengeluarkan pendaftaran lanjutan kepada pihak sekolah bagi memberi peluang pihak sekolah mendapatkan ulasan dari agensi yang berkaitan.

"Dakwaan pihak berkaitan yang kononnya amaran telah diberikan kepada sekolah agama persendirian supaya diarah keluar dari premis adalah tidak benar sama sekali dan berniat menimbulkan kegelisahan di kalangan umat Islam,” kata beliau.

Tegasnya, semua pihak digesa supaya merujuk isu tersebut kepada pihak berkuasa supaya fakta dan konteks sesuatu isu itu tepat serta jelas.

ARTIKEL BERKAITAN: Hentikan fitnah diulang-ulang - MB