PELUMBA Jepun, Haruki Noguchi meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan pada Perlumbaan 2 Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Mandalika, Indonesia Ahad lalu.
Berita sedih tersebut dimaklumkan oleh FIM Asia dalam satu kenyataan pada Khamis.
Noguchi menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.40 petang Rabu selepas dirawat secara intensif di Hospital Awam Nusa Tenggara Barat.
"Dengan penuh kesedihan kami mengumumkan kematian Haruki Noguchi selepas tiga hari menerima rawatan intensif di Hospital Awam Nusa Tenggara Barat,” kata FIM Asia.
Semasa Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia FIM 2023 di Litar Antarabangsa Mandalika, Noguchi cedera parah berikutan insiden di selekoh 10, Pusingan 4 kategori Asia Superbike 1000cc.
"Penunggang berusia 22 tahun itu segera menerima rawatan di pusat perubatan litar sebelum dipindahkan ke hospital. Di sebalik usaha sehabis baik dilakukan kakitangan perubatan, Noguchi meninggal dunia akibat kecederaannya pada 16 Ogos jam 5.40 petang.
"Presiden FIM Asia dan Lembaga Pengarah, keluarga Two Wheels Motor Racing dan FIM Asia Road Racing mengucapkan takziah kepada keluarga, rakan-rakan dan orang tersayang Haruki Noguchi,” tambah kenyataan itu.
Pada Perlumbaan 1 Sabtu lalu, Noguchi yang mewakili pasukan SDG MS Harc-Pro.Honda.Ph. menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan catatan masa 16 minit 13.176 saat.
Perlumbaan 2 terpaksa dihentikan berikutan kemalangan tersebut.
Noguchi dikatakan sebagai pelumba berpotensi dan sudah mengutip 113 mata keseluruhan bagi kelas perdana untuk berada di tangga kedua keseluruhan.
Pelumba itu memulakan kempen dengan cemerlang - menawan kedua-dua perlumbaan pada Pusingan 1 di Litar Antarabangsa Chang, Thailand Mac lalu.