SPR lantik 800 petugas lancarkan proses pengundian

Iklan
SPR

SANDAKAN - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melantik hampir 800 petugas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan bagi melancarkan proses pengundian, Sabtu ini.

Timbalan Pengarah SPR Dr Azmi Sharom berkata penambahan pegawai di saluran satu dan dua juga dibuat kerana ia khusus kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) untuk mengundi.

Iklan
Iklan

"Ini merupakan penambahbaikan yang diperkenalkan dalam PRK ini bagi membantu pengundi yang berkerusi roda atau bertongkat, ada orang yang boleh membantu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Azmi juga menyeru kepada pengundi di Parlimen Sandakan supaya turun beramai-ramai menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Iklan

Beliau turut mengingatkan waktu mengundi ialah pada jam 7.30 pagi hingga 5 petang.

Katanya, SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi di 19 pusat melibatkan 90 saluran.

Iklan

"SPR juga menjangkakan keputusan PRK Sandakan akan diketahui sebelum 10 malam," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sepanjang tempoh berkempen, walaupun terdapat aduan dan masalah namun kempen PRK Sandakan berjalan dengan baik dan patut dicontohi.

Parlimen Sandakan mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Tanjong Papat dan Elopura dengan jumlah 40,131 pemilih layak mengundi, termasuk 270 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

PRK itu menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon DAP, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan tiga calon Bebas. - Bernama