Kes denggi di Kelantan meningkat 225 peratus, dua kematian

Iklan
Sebanyak 1,514 kes demam denggi dengan dua kematian direkodkan di Kelantan antara Januari hingga 16 Ogos lepas. - Gambar hiasan

KOTA BHARU - Kes demam denggi di Kelantan mencatatkan peningkatan 225 peratus dengan dua kematian direkodkan antara Januari hingga 16 Ogos tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, sehingga 12 Ogos 2023, bilangan kes demam denggi yang dilaporkan di negeri ini adalah sebanyak 1,514 kes dengan lokasi panas di Kota Bharu, Bachok dan Tumpat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, cuaca hujan dan kemarau dipercayai antara faktor penyumbang peningkatan kes pada tahun ini berbanding tempoh sama pada 2022 yang merekodkan 479 kes.

Bagaimanapun katanya, jumlah kes itu adalah lebih rendah berbanding sebelum pandemik Covid-19 iaitu penurunan 50 peratus berbanding pada 2020 (3,030 kes) dan penurunan 52.2 peratus (3,191 kes) berbanding kes denggi yang dicatatkan pada 2019.

Iklan

"Pada tahun ini, dua kematian akibat denggi berlaku membabitkan dua lelaki dewasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Jalur Gemilang Peringkat Wisma Persekutuan negeri Kelantan di sini, pada Khamis.

Dr Zaini (tiga dari kiri) dan Muhd Nor Aswadi (tengah) bersama kakitangan awam mengibarkan Jalur Gemilang di pekarangan Wisma Persekutuan di Kota Bharu pada Khamis.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Kelantan, Muhd Nor Aswadi Md Nor.

Iklan

Dr Zaini berkata, kejadian wabak denggi yang dilaporkan sehingga 12 Ogos lalu adalah sebanyak 122 wabak, berbanding 26 wabak bagi tempoh yang sama pada 2022.

"Daripada 122 wabak denggi yang dilaporkan, 97 wabak sudah tamat manakala 25 wabak lagi masih aktif.

"Bagi tahun 2023, setakat tempoh ini, tiada wabak hotspot (tempoh wabak yang melebihi 30 hari) berlaku di negeri Kelantan,” ujarnya.

Beliau berkata, JKNK menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan untuk semua kes dan wabak denggi yang dilaporkan bagi memutuskan rantaian jangkitan termasuk kawalan vektor meliputi pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan dan pendidikan kesihatan.

"Sejumlah 371,269 premis diperiksa bagi mengenal pasti tempat pembiakan nyamuk aedes.

"Sebanyak 1,639 kompaun dengan nilai RM819,500 dikeluarkan kepada pemilik premis yang didapati terdapat pembiakan aedes di dalam premis mereka mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 [Akta 154],” katanya.