PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) perlu lebih bijak dalam isu pemakaian pemain profesional yang tidak boleh memakai pakaian sukan jenama selain daripada penaja badan induk itu jika mahu menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Bekas pemain perseorangan lelaki negara, Roslin Hashim berkata, BAM seharusnya peka dengan kontrak ditandatangani pemain profesional bersama penaja masing-masing sebelum 'menguatkuasakan' peraturan sedemikian.
"Apa motifnya BAM buat sebegini? Contohnya, jika Lee Zii Jia masuk latihan di ABM dan perlu pakai baju penaja mereka, sudah tentu penajanya akan saman. Adakah BAM mahu bayar saman? Mengapa pihak pengurusan BAM tak faham perkara ini?
"Di dalam kontrak tajaan, sudah termaktub bahawa pemain profesional harus pakai pakaian mereka tak kira dalam sesi latihan atau kejohanan. Sebab itu mereka takut kena saman (jika pakai pakaian selain penaja masing-masing) atau bayar denda kerana amaunnya bukan sedikit," katanya.
Roslin yang juga ahli Panel Penasihat Teknikal BAM berkata, badan induk itu sepatutnya berbincang terlebih dahulu bersama pemain profesional mengenai langkah mereka mengenakan peraturan baharu tersebut jika mahu berlatih di ABM.
BAM pada tahun lepas membuka pintu buat pemain profesional untuk berlatih di ABM pada setiap Rabu dan Jumaat.
Menurut Roslin, beliau difahamkan peraturan tersebut masih baharu memandangkan tiada isu timbul bersama pemain profesional yang menjalani latihan bersama BAM sebelum ini.
Pengarah Kejurulatihan Team LZJ, Wong Tat Meng dalam satu hantaran di laman Instagram berkata, beliau benar-benar terkejut dan berasa seperti 'dibuli' orang besar memandangkan peraturan tersebut dikuat kuasa menjelang Kejohanan Kejohanan Badminton Dunia 2023 di Copenhagen dari 21 hingga 27 Ogos ini.
"BAM sering berkata tidak kira pemain kebangsaan mahupun pemain profesional, mereka semua adalah pemain Malaysia, dan kegemilangan dikongsi bersama," katanya sambil mengharapkan agar perkara tersebut dapat dibincangkan BAM bersama pihaknya pada masa akan datang.
Zii Jia dalam satu ruangan komen hantaran Tat Meng pula berkata:"Jangan nanti cakap saya 'besar kepala' tak datang training (latihan) pula. Aishhhhh... susah nii nak jadi LZJ semua salah I (saya) pening,"
Dalam pada itu, Pengarah Pentadbiran BAM Michelle Chai ketika menjawab pertanyaan peminat badminton tanah air di laman Twitter berkata peraturan tersebut dibuat bagi melindungi kepentingan pihak yang melabur di ABM. - Bernama