SEBANYAK 1,010 unit rumah mampu milik, iaitu Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin Madani di Desa Tasik Sungai Besi di sini, bakal ditawarkan kepada kumpulan sasar M40 dan ke bawah yang belum memiliki kediaman.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, pembangunan projek di kawasan seluas 1.4 hektar itu membabitkan 910 unit rumah Residensi Wilayah yang berkeluasan 902 kaki persegi (83.8 meter persegi) dan 908 kaki persegi (84.4 meter persegi) dengan harga jualan RM300,000 seunit.
"Residensi Prihatin Madani pula melibatkan pembangunan 100 unit berkeluasan 902 kaki persegi (83.8 meter persegi) dengan harga jualan RM200,000 seunit," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin Madani serta Pusat Penjaja Madani di Desa Tasik Sungai Besi di sini pada Khamis.
Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Berhubung syarat permohonan, Residensi Wilayah ditawarkan kepada individu berusia 21 tahun ke atas dengan pendapatan kasar bulanan di bawah RM10,000 (bujang) dan RM15,000 (berkahwin) serta dilahirkan atau bekerja atau menetap di Kuala Lumpur.
Residensi Prihatin Madani adalah antara inisiatif yang dijayakan di bawah gagasan Malaysia Madani bagi menyediakan perumahan mampu milik kepada golongan sasaran M40 dan B40.
"Keutamaan diberikan kepada pemohon yang lahir atau menetap atau bekerja di Wiayah Persekutuan Kuala Lumpur yang belum mempunyai kediaman,” menurut kenyataan itu.
DBKL berharap pembangunan rumah mampu milik berkenaan akan dapat memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman yang selesa dengan harga jualan berpatutan. - Bernama