Maritim Terengganu lupus empat bot nelayan Vietnam

Iklan
Empat buah bot nelayan asing Vietnam dilupuskan oleh Maritim Malaysia Negeri Terengganu pada Khamis.

KUALA TERENGGANU - Empat buah bot nelayan asing Vietnam dilupuskan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu pada Khamis.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, pelupusan dibuat menggunakan kaedah penenggelaman untuk dijadikan tukun tiruan berhampiran Pulau Susu Dara, Besut selepas mendapat perintah lucut hak daripada mahkamah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia merupakan suatu inisiatif dalam memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin serta simbolik kepada keseriusan Maritim Malaysia mengekang kemasukan nelayan asing ke perairan negara secara haram.

"Keempat-empat bot ini ditahan melalui Op Naga Barat dan Op Kuda Laut yang dilaksanakan sepanjang tahun lepas.

Iklan

"Proses menenggelamkan kesemua bot ini agak mencabar kerana cuaca yang tidak menentu, hujan lebat dan ombak bergelora selain angin bertiup kencang.

"Ini merupakan pelupusan ke-16 dalam tahun ini oleh Maritim Terengganu dan dijangkakan sebanyak 20 bot lagi bakal ditenggelamkan setelah mendapat pelucutan hak daripada mahkamah pada tahun ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, sehingga kini sebanyak 165 bot telah dilupuskan melalui kaedah ditenggelamkan sebagai tukun di sepanjang perairan Terengganu atau hancur musnah oleh Maritim Terengganu.

Jelas beliau, program pelupusan bot ini turut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Laut Malaysia serta Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT).

Katanya, Maritim Malaysia akan terus melaksanakan rondaan untuk mengesan kegiatan pencerobohan nelayan asing dan juga aktiviti-aktiviti yang melanggar undang- undang di sekitar perairan Terengganu.

Mohd Khairulanuar berkata, Maritim Malaysia sentiasa tegas dalam melaksanakan undang-undang di perairan negeri Terengganu.

"Kita turut memohon kerjasama daripada masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat perlakuan yang melanggar undang-undang dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999," ujarnya.