MARANG - Pemilik dusun di Kampung Lubuk Batu, di sini, menawarkan pakej menikmati pengalaman makan durian di dusun dengan harga berpatutan sebanyak RM200 untuk satu kumpulan tidak melebihi 10 orang.
Salleh Sulong Embong, 75, berkata, beliau mengusahakan dusun berkenaan yang berkeluasan 1.5 hektar sejak 30 tahun lepas.
Menurutnya, pelanggan boleh makan seberapa banyak durian yang mereka mahu di situ.
"Pakej makan durian dalam dusun itu akan dibuka sepanjang musim durian ini. Setakat ini sambutan pengunjung sangat memberangsangkan.
"Alhamdulillah kami turut terima pengunjung dari luar Terengganu termasuk dari Selangor dan Negeri Sembilan," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.
Mengulas lanjut, Salleh Sulong berkata, beliau turut menjual hasil durian dari dusunnya di tepi jalan selain menjual kepada pemborong di sekitar kawasan kampung.
"Paling banyak hasil jualan kita terima sebanyak RM1,000 sehari.
"Namun tujuan utama kita jual durian dan adakan pakej makan di dusun ini bukan nak dapat hasil tetapi lebih suka tengok orang ramai berkumpul ramai-ramai menikmati durian," ujarnya.
Sementara itu, seorang pengunjung dari Klang, Selangor, Diana Ibrahim, 25, yang memanfaatkan percutiannya di negeri ini turut mengetahui pakej makan durian dalam suasana di dusun menerusi hebahan di Facebook.
"Saya memang suka makan durian dan kebetulan sudah berada di Terengganu, teringin nak merasai durian dari negeri ini.
"Sangat sedap durian di sini dan berbaloi datang makan dalam suasana di dusun yang menenangkan dan damai.
"Jadi sesuai untuk satu keluarga dan orang ramai dari bandar datang ke sini untuk 'healing'," ujarnya.