Hikayat Merong Mahawangsa bukan mitos, realiti sejarah Kedah

Iklan
Mohd Herman (kiri) ketika berkongsi bahan kajian membicarakan mengenai Hikayat Merong Mahawangsa Antara Realiti dan Fantasi di Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Merbok pada Khamis.

MERBOK - Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) yang didedahkan dalam beberapa bahan bacaan sebelum ini, disifatkan sebagai realiti bukanlah mitos semata-mata.

Pengkaji sejarah, Dr Ahmad Farhan Abdullah@Zakaria menyifatkan HMM sebagai realiti, bukan fantasi atau cerita legenda mahupun bahan sastera kerana ia terdapat dalam sejarah negeri Kedah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, watak, lokasi, siri peperangan dan kisah pengislaman pembesar serta kerabat diraja Kedah menguatkan pendirian itu kerana sememangnya tertulis dalam lipatan sejarah Kedah.

"Kerajaan Kedah yang asalnya merangkumi lembangan Sungai Merbok dan Sungai Muda diperluaskan secara berperingkat merangkumi Selatan Thailand, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak namun akhirnya mengecil seperti kini," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika hadir sebagai panel Bicara@Muzium Arkeologi Lembah Bujang (MALB) bertajuk Hikayat Merong Mahawangsa Antara Realiti dan Fantasi di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah MALB, Azhar Mohamed Noor dan seorang lagi panel merangkap Exco Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Mohd Herman Roslan.

Iklan

Selain itu, menurut Ahmad Farhan, terbukti manusia pribumi Malaysia yang dikenali ketika itu sebagai Semenanjung Tanah Melayu, dan Segenting Kra, iaitu orang Melayu, orang Benua, orang Darat dan orang Laut telah menghuni sebelum atau ketika era kenabian dan kerasulan Nabi Sulaiman AS sekitar abad ke-10 sebelum Masihi.

"Orang Melayu dahulu beragama Hindu-Buddha sehingga memeluk agama Islam, setakat yang diketahui pada abad ke-12," katanya.

Beliau menambah, Kedah menerima kedatangan Islam lebih awal berbanding negeri Melaka pada abad ke-14.

Sementara itu, Mohd Herman berkata, HMM adalah sebuah karya yang benar tetapi diceritakan dalam bentuk prosa, ditulis dalam bahasa pada kurun ke-19.

"Ia mempunyai unsur sindiran kepada cara kehidupan dan pemerintahan raja-raja Kedah terdahulu agar menjadi pedoman kepada pemerintah Kedah yang seterusnya," katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Azhar berkata, Program Bicara@Muzium merupakan peranan Jabatan Muzium Malaysia dalam elemen pendokumentasian dan kajian ilmiah bermutu sebagai cabang pendidikan untuk tatapan generasi akan datang.

"Ia menjadi platform kepada pengkongsian ilmu dalam pelbagai pengkhususan seperti budaya, sejarah, sains dan teknologi dan lain-lain.

"Besarlah harapan saya agar program ilmiah seperti ini mampu memberi kesedaran sosial kepada masyarakat untuk lebih mencintai dan menghargai sejarah, khazanah dan warisan budaya yang terdapat di negeri Kedah serta negara Malaysia pada amnya," katanya.