Muhyiddin sahkan PMO beri peringatan kepada Puad sebelum saman

Iklan
Muhyiddin Yassin, Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR - Tan Sri Muhyiddin Yassin di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, mengesahkan bahawa Pejabat Perdana Menteri (PMO) telah memberi peringatan kepada Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi supaya memohon maaf atau dikenakan tindakan undang-undang, pada dua tahun lalu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata demikian ketika sesi soal balas oleh peguam, G Rajasingam yang mewakili Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, di hadapan Hakim, Hayatul Akmal Abdul Aziz.

Iklan
Iklan

Rajasingam: Anak guam saya sebenarnya membuat penjelasan dan tiada niat untuk mencemar imej Tan Sri (Muhyiddin). Adakah Tan Sri setuju bahawa, kenyataan PMO (pada 9 Februari 2021) lebih kepada menuduh dan bukan penjelasan?

Muhyiddin: Ya.

Iklan

Rajasingam: Itu adalah bentuk amaran?

Muhyiddin: Peringatan.

Iklan

Rajasingam: Tan Sri sudah lama berkhidmat dalam kerajaan, tapi pernahkah PMO keluarkan peringatan seperti ini?

Muhyiddin: (Hanya) Kes tertentu.

Rajasingam: Saya cadangkan, ini adalah kes pertama oleh PMO?

Muhyiddin: Ya.

Rajasingam: Kemudiannya pada 16 Februari 2021, surat tuntutan saman (LOD) dikeluarkan terhadap Mohd Puad?

Muhyiddin: Ya.

Pada tarikh itu, Muhyiddin atas kapasiti peribadinya, menerusi firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership, menuntut Mohd Puad memohon maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi RM10 juta kerana didakwa memfitnah dalam hantaran di Facebook pemimpin UMNO itu.

Tuntutan berkenaan dibuat kerana menggambarkan Muhyiddin enggan dikuarantinkan sekembalinya dari lawatan rasmi di Jakarta, Indonesia pada 5 Februari tahun 2021 sehingga kerajaan terpaksa mewartakan perintah kuarantin tiga hari terhadap menteri.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pagoh mengesahkan tuduhan fitnah oleh Puad di laman sosial Facebook (FB), 'Dr Puad Zarkashi' bertajuk 'Kuarantin, adakah dua darjah?' merupakan jenayah yang serius.

Bagaimanapun beliau berkata, tiada laporan dibuat di balai polis mahupun FB sama ada oleh beliau sendiri mahupun pegawai di PMO.

Ditanya mengenai laporan didakwa memfitnah tersebut, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ini bersetuju dengan cadangan Rajasingam bahawa, kenyataan Puad yang diterbitkan semula dalam empat artikel, tidak menunjukkan secara jelas bahawa Muhyiddin telah menyalahgunakan kedudukan selaku Perdana Menteri, enggan menjalani kuarantin dan mengamuk di lapangan terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang sekembalinya dari Jakarta.

"Betul," kata Muhyiddin selepas disoal artikel berkenaan merupakan suatu bentuk persoalan atau pertanyaan, dan bukannya penjelasan kenyataan menjurus ke arah fitnah.

Pada Februari dua tahun lalu, Muhyiddin menuntut Puad yang juga speaker DUN Johor, memohon maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi RM10 juta kerana didakwa memfitnahnya.

Tuntutan itu dibuat terhadap kenyataan Puad bahawa Muhyiddin enggan dikuarantinkan sekembalinya dari lawatan rasmi dari luar negara.

Selain itu, Muhyiddin menuntut Puad mengeluarkan aku janji bertulis untuk tidak mengulangi atau menerbitkan kenyataan sama atau seumpama itu dalam apa jua cara sekalipun.

Pada 9 Februari lalu, PMO dalam kenyataan menafikan fitnah dibuat Puad kononnya perintah kuarantin tiga hari untuk menteri yang melakukan lawatan ke luar negara diwartakan kerajaan kerana Perdana Menteri enggan dikuarantinkan sekembalinya dari lawatan rasmi ke negara jiran ini.