Mydin tawar penjimatan, ganjaran sehingga RM6.6 juta

Iklan
Fahmi (tengah) dan Ameer (dua dari kiri) ketika pelancaran Program Semarak Gemilang Malaysia Madani dan Kempen OhMydin di Seremban pada Khamis.

SEREMBAN - Sempena ulang tahun Mydin ke-66 tahun, rangkaian pemborong dan peruncit halal terbesar tempatan itu menawarkan penjimatan dan ganjaran sehingga RM6.6 juta menerusi Program Semarak Gemilang Malaysia Madani dan Kempen OhMydin.

Program yang diadakan di semua rangkaian Mydin di seluruh negara bermula pada Khamis sehingga 31 Oktober depan menjanjikan penjimatan sehingga 60 peratus bagi barangan keperluan antaranya pakaian dan alat tulis menerusi Karnival Jualan 'Kita Madani'.

Iklan
Iklan

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holding Berhad (Mydin), Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, terdapat pelbagai tawaran yang perlu direbut masyarakat sepanjang ulang tahun ini.

"Melalui program kesetiaan Meriah, pihaknya menawarkan sebanyak 660 mata ganjaran bagi pelanggan yang mendaftar kad Meriah di samping turut mendapat hadiah istimewa.

Iklan

"Pelanggan Mydin Online juga turut akan menerima e-baucar bernilai RM6 dengan menggunakan kod MYDINRM6," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Semarak Gemilang Malaysia Madani di sini pada Khamis.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Iklan

Selain itu Ameer berkata, pihaknya turut memperkenalkan 'TikTok Shop' di aplikasi rasmi TikTok Mydin Malaysia iaitu pelanggan kali pertama layak menerima baucar RM15 serta kod baucar istimewa selain mendapat subsidi penghantaran bernilai RM6 ke seluruh negara.

Menurutnya, melalui kempen 'Belanja & Fuel Good' dengan kerjasama Setel, pelanggan yang berbelanja minimum RM120 yang menggunakan aplikasi itu akan menerima baucar Setel bernilai RM6.60.

Malah katanya, bagi menggalakkan penggunaan aplikasi pembayaran secara digital, pelanggan yang menggunakan MyDebit berpeluang memenangi baucar Mydin bernilai sehingga RM280,000 bagi setiap pembelian RM66 dan ke atas dalam satu resit.

Fahmi (tengah) dan Ameer (dua dari kiri) ketika pelancaran Program Semarak Gemilang Malaysia Madani dan Kempen OhMydin di Seremban pada Khamis.

"Di samping itu, pelanggan bertuah yang berbelanja terbanyak menggunakan mod pembayaran e-dompet melalui aplikasi Boost, MBSB Bank E-wallet, Mcash, Wavpay dan Zapp boleh merebut pulangan tunai dan hadiah dengan jumlah keseluruhan RM366,000.

"Dengan perkembangan pesat teknologi digital, Mydin menawarkan servis dalam talian 'Mydin Online' yang memberi kemudahan kepada masyarakat khususnya pelanggan setia kami mendapatkan barangan keperluan hanya di hujung jari sahaja.

"Mydin turut meneruskan kolaborasi dengan rakan platform pembayaran digital serta rakan e-dompet bagi menggalakkan rakyat mengaplikasi penggunaan teknologi digital ketika membeli-belah," katanya.

Selain itu, beliau turut mengumumkan diskaun istimewa kepada kira-kira 12,000 petugas-petugas media yang memegang kad Perakuan Media dikeluarkan Jabatan Penerangan Malaysia di seluruh negara.

Jelasnya, bentuk diskaun dan tarikh mula diskaun tersebut akan diumumkan di media sosial rasmi Mydin Malaysia dalam masa terdekat.

"Diskaun istimewa ini sebagai komitmen dan penghargaan Mydin kepada rakan-rakan media yang banyak menyalurkan maklumat dan komunikasi yang tepat serta komprehensif kepada masyarakat," katanya.

Sementara itu, Fahmi dalam ucapannya berkata, kementeriannya sangat mendukung usaha untuk membantu memartabatkan pemain industri tempatan dalam mendepani ekonomi digital.

"Majlis pelancaran kedua-dua kempen hari ini (Khamis) menjadi kesinambungan sinergi antara kerajaan, pengusaha tempatan, peruncit dan juga syarikat e-dompet dalam mendukung usaha murni ini," katanya.