KUALA NERUS - Bermula dengan hanya mengalami ulser pada bahagian mulut, seorang wanita yang mengalami penyakit auto imun atau pemphigus vulgaris kini terlantar kerana seluruh kulitnya melepuh, berkuping keras dan berdarah.
Nor Aziantie Azhar, 31, berkata, penyakit kulit yang dialaminya itu semakin teruk setelah habis tempoh pantang selepas melahirkan anak keduanya pada Mac lalu.
"Dua hari sebelum Hari Raya Aidiladha lalu, keadaan saya semakin serius. Badan saya ketika itu dipenuhi lepuhan air pecah dan melecur. Warna kulit saya pula seperti terbakar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di sini, pada Khamis.
Nor Aziantie yang merupakan balu kepada artis alih suara, Allahyarham Muhammad Aizat Adnan berkata, disebabkan kesihatannya semakin teruk dia mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 6 Mei lalu sebelum ditahan wad selama 76 hari termasuk 50 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU).
"Pada mulanya saya hanya balik ke sini untuk menyambut Aidiladha. Tak sangka pula keadaan saya bertambah teruk dan emak saya tak benarkan saya balik ke Gombak kerana tiada orang nak jaga saya. Suami pula bekerja.
"Sekarang sudah hampir sebulan saya terlantar di rumah (Kuala Nerus) selepas keluar wad (HSNZ) sejak 20 Julai lalu," katanya.
Aziantie mempunyai seorang anak lelaki, Muhammad Fatih Andika, 6, hasil perkongsian hidup bersama Allahyarham Muhammad Aizat yang pernah menjadi suara latar bagi animasi popular Kung Fu Panda.
Aziyantie kemudian mendirikan rumah tangga selepas suaminya meninggal dunia akibat kanser esofagus pada 4 Februari 2021.
Dia dan suami yang merupakan seorang juruteknik kini dikurniakan seorang bayi perempuan, Nur Aisyah Sofiyyah Mohd Saifulhisyam yang berusia 6 bulan.
Menurut Aziantie, kedua- dua anaknya kini dijaga oleh ibu dan bapanya serta dua adiknya yang tinggal serumah di sini.
"Saya sebenarnya rindu sangat nak dukung anak tapi apakan daya saya tiada kudrat dan hanya mampu lihat dia membesar.
"Nak bergerak sikit pun sakit kerana hampir keseluruhan tubuh saya melepuh. Tangan berkuping keras. Belakang badan pun ada luka besar sehingga menampakkan isi bahagian badan.
"Disebabkan kesan penyakit ini, saya tidak mampu bergerak dan perlu dibantu sepenuhnya untuk menguruskan diri," ujar anak sulung dari tiga beradik itu.
Sementara itu, ibunya, Liza Suriani Ab Rahman, 53, berkata, setakat ini Aziantie bergantung kepada hasil sumbangan orang ramai kerana sudah tidak boleh bekerja.
Menurutnya, kos perbelanjaan bagi menampung penjagaan anaknya itu melebih RM300 sehari meliputi peralatan mencuci luka, lampin pakai buang, tisu basah dan susu.
"Penjagaan kesihatan paling penting ialah pembalut kain kasa yang digunakan jenama Bactigras. Yang ni perlu 10 kotak setiap hari. Ada kalanya terputus bekalan kerana tiada dijual di farmasi di sini.
"Selain makan ubat-ubatan hospital, dia juga makan vitamin dan minum susu tepung berharga RM90 bagi satu tin (850gram)," katanya.
Ujar Liza Suriani, selain kaedah moden, mereka turut mencuba kaedah rawatan perubatan Islam sebagai ikhtiar lain untuk mengubati penyakit anaknya itu.
Mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Nor Aziantie (512400515982) atau menghubungi Liza Suriani di talian 017-9162993.