KUALA PILAH - Seorang pejalan kaki maut selepas terlibat nahas dengan sebuah lori dalam kejadian di simpang Pasar Kuala Pilah di sini petang Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Ghani berkata, kejadian kira-kira jam 6 petang itu membabitkan seorang lelaki warga emas berusia 93 tahun dengan sebuah lori jenis Hicom.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku semasa lori dipandu lelaki berumur 50 tahun dalam perjalanan dari arah Kampung Dioh menghala ke Keratong.
"Apabila tiba di simpang empat Jalan Dato Undang Luak Johol, lori terbabit berhenti dan setelah memastikan keadaan selamat pemandu keluar membelok ke kanan.
"Tiba-tiba pemandu terdengar dentuman dan mendapati terlanggar mangsa yang berada di tengah jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Amran berkata, susulan kejadian itu mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah bagi bedah siasat.
"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.