KLANG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang berada dalam pesawat Beechcraft 390 (Premier 1) yang terhempas di Elmina, Seksyen U16, Shah Alam, adalah atas urusan rasmi kerajaan negeri.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, Johari yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang melakukan urusan tugas ke Langkawi bagi menghadiri mesyuarat bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata, kejadian malang pesawat yang terhempas itu adalah satu kejadian yang sangat menyayat hati.
Mohd Sharkar berkata, pemergian arwah Johari merupakan satu kehilangan besar memandangkan beliau merupakan antara pemimpin pelapis kepada kerajaan Negeri Pahang.
"Mula-mula mengetahui kejadian ini, kami semua berasa amat terkejut sebab ada banyak Johari di Pahang.
"Kita ada Johari Harun, Johari Hussien (Ahli Dewan Undangan Negeri Tioman). Jadi tidak tahu yang mana satu.
"Namun, apabila dapat tahu kad pengenalannya bermula 1970 bermakna 53 tahun, maka kami dapat menjangka Johari Harun yang meninggal dunia," katanya ketika ditemui ketika hadir di unit forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) pada Khamis.
Mohd Sharkar memberitahu, Allahyarham Johari adalah seorang pemimpin yang sangat rajin, meskipun baru pertama kali bergelar Exco Negeri.
Tambah beliau, kali terakhir dia bertemu dengan Johari adalah pada minggu lepas dalam sebuah program.
Menurutnya, Allahyarham selalu bertanyakan pandangan dan meminta nasihat mengenai politik.
"Sepatutnya saya jumpa beliau semalam dan ia merupakan rutin biasa semasa berada di pejabat pada hari Rabu untuk menyalurkan informasi kepada exco tertentu.
"Selalu dia (Johari) akan memberi maklum balas dan hadir, namun semalam dia senyap (tanpa khabar berita).
"Semua ini takdir daripada ALLAH. Dia lebih mengetahui dan kita amat sedih kehilangan tokoh muda yang mempunyai potensi amat tinggi," ujarnya.
Mohd Sharkar menegaskan segala urusan berkaitan Allahyarham Johari termasuk penghantaran dan pengebumian akan ditanggung sepenuhnya kerajaan Pahang.
Ketika ditanya mengenai kekosongan kerusi DUN Pelangai, beliau berkata, pihaknya belum menerima surat rasmi mengenainya sebelum dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
ARTIKEL BERKAITAN:
Nahas Elmina: Enam mayat ditemui, lima daripadanya tak sempurna
Nahas Elmina: Salah satu komponen kotak hitam ditemui - Polis
Nahas terlalu mendadak mungkin punca tiada isyarat 'mayday' - Pakar
Nahas Elmina: Perlukan masa untuk kenal pasti identiti mayat
Nahas Elmina: Enam mayat ditemui, lima daripadanya tak sempurna
Nahas Elmina: Tragedi pesawat kedua di Elmina selepas 46 tahun
Nahas Elmina: Adik sayang mama, ucapan terakhir juruterbang
'Abang saya anak peneroka, bukan anak Jamaluddin Jarjis'
Saya bukan antara mangsa nahas di Elmina, kata anak Jamaluddin Jarjis
Nahas Elmina: Syarikat pengendali pesawat berdaftar, ada lesen