PERSONALITI popular, Neelofa tampil menafikan wajah bayi yang dimuat naik menerusi Instastory miliknya pada Rabu adalah anak keduanya, Abdullah Abbas.
Isteri kepada pendakwah bebas, Haris Ismail atau PU Riz itu berharap tidak adalah lagi salah faham dan bayi berkenaan adalah model yang digunakan untuk mempromosikan produknya.
"Ini bukan baby Abbas... Jangan salah faham guys (semua),” tulisnya menerusi hantaran terbaharu di akaun Instagramnya.
Sejak Rabu, hantaran Neelofa yang memaparkan seorang bayi menerusi pantulan cermin sedang menjalani sesi fotografi tular di media sosial dan ramai menyangkakan bayi tersebut adalah Abdullah Abbas.
Rata-rata menyifatkan wanita berusia 34 tahun itu lebih terbuka berkongsi wajah anak keduanya berbanding anak sulungnya, Muhammad Bilal, 2, sebelum ini.
Neelofa sebelum ini pernah memuat naik gambar Abdullah Abbas namun dalam posisi meniarap serta tidak menampakkan wajah bayi itu.
Sekadar info, Neelofa melahirkan Abdullah Abbas pada 11 Julai lalu.
Neelofa sebelum ini pernah menyatakan keputusan untuk mendedahkan wajah anaknya apabila tiba waktunya sama seperti pendiriannya sebelum ini.
Bagaimanapun kerakusan warga maya membuatkan wajah Bilal tular di media sosial sebelum sempat Neelofa dan Haris sendiri berbuat demikian.