PENGENDALI skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari mahu menjadikan aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia 2023 berdepan Kelantan FC di Stadium Sultan Ibrahim, Sabtu ini sebagai medan ‘menguji’ kesebelasan pemain yang jarang beraksi musim ini.
Menurut Solari, sudah tiba masanya pemain yang sering beraksi ‘berehat seketika’ dan memberikan peluang kepada pemain lain membuktikan kemampuan mereka.
Justeru katanya, aksi berdepan skuad The Red Warriors itu diharap dapat dimanfaatkan kesebelasan pemain yang bakal diturunkan kelak.
"Sekali lagi, kita akan menentang Kelantan FC bagi saingan Piala Malaysia dan kali ini ia bagi pusingan kedua di peringkat pusingan 16.
"Sebenarnya ia bukanlah disebabkan ‘bekalan’ yang kita miliki ketika ini, tetapi ia lebih kepada ‘penggiliran pemain’ dan memberikan minit permainan kepada pemain-pemain berkenaan.
"Lagi pun, setelah menunjukkan kegigihan serta kesungguhan dalam sesi latihan pasukan selama ini, mereka berpeluang untuk membuktikannya dalam perlawanan sebenar,” katanya.
Untuk rekod, skuad Harimau Selatan itu dilihat sudah melangkah ‘sebelah kaki’ ke saingan suku akhir hasil kemenangan 5-1 ke atas skuad Gomo Kelate Gomo pada aksi pertama pusingan 16, di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, 4 Ogos lalu.
Dalam masa sama, Solari turut mengingatkan kesebelasan pemain agar tidak memandang mudah aksi berdepan Kelantan FC.
Katanya, skuad The Red Warriors itu merupakan pasukan yang sering beraksi dengan memberikan tekanan kepada lawan.
Sementara itu, Solari mengakui berdepan dengan masalah kecederaan dalam kalangan beberapa pemain ketika ini.
Bagaimanapun katanya, masalah itu telah diatasi dengan mengenal pasti pemain-pemain terbaik untuk beraksi berdepan Kelantan FC.
"Seperti yang saya beritahu sebelum ini, masanya sudah tiba untuk ‘rehatkan' beberapa pemain yang sering beraksi.
"Namun, saya percaya pemain-pemain yang bakal beraksi kelak turut mempunyai kualiti tersendiri dalam usaha menjamin kejayaan pasukan,” katanya.