ISTANBUL - Pentadbiran interim Taliban menyelar Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Afghanistan, Richard Bennett dalam laporan terbaru beliau mengenai situasi wanita dan kanak-kanak perempuan di negara tersebut.
Pentadbiran itu menyebut laporan sebagai propaganda yang tidak mencerminkan laporan sebenar berlaku di sana.
Pada Isnin, pelapor khas menyatakan kebimbangannya terhadap 'diskriminasi sistematik dan institusi' terhadap wanita dan gadis di bawah pemerintahan Taliban dan menggelarnya 'apartheid' jantina.
"Ia diskriminasi yang serius, sistematik dan disasarkan terhadap wanita dan gadis di tengah-tengah ideologi dan pemerintahan Taliban sehingga menimbulkan kebimbangan bahawa mereka mungkin bertanggungjawab terhadap apartheid jantina," kata Bennett kepada Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva.
Menurut laporan terbaharu oleh Afghan Witness mendakwa ramai wanita dipancung dan mayat mereka dibuang ke dalam sungai dan jalan raya semasa pemerintahan Taliban.
Kajian disiarkan dalam laporan itu mendapati terdapat 3,329 pelanggaran hak asasi manusia sejak Taliban mentadbir Afghanistan pada Ogos dua tahun lalu.
Penyelidik menggunakan data sumber terbuka dan mendokumentasikan 1,977 tuntutan pelanggaran hak asasi manusia yang membabitkan pembunuhan, penahanan sewenang-wenangnya dan penyeksaan sejak Januari tahun lalu.
Kajian itu turut merekodkan ratusan wanita dibunuh secara kejam oleh Taliban dengan angka itu menunjukkan peningkatan 'beransur-ansur' dalam kes pembunuhan golongan wanita atau femisid. - Agensi