SHAH ALAM - Seorang wanita maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas dalam kejadian di Kilometer 6.5, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pagi tadi.
Mangsa, K Durgashini, 20, dari Taman Alam Megah dipercayai menunggang motosikal seorang diri ketika kejadian.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, siasatan awal mendapati, dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi itu, mangsa menunggang motosikal dari arah Kuala Lumpur menuju ke Klang.
"Motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan mengakibatkan dia terbabas sendiri di lorong kecemasan," katanya.
Katanya, mangsa dipercayai terjatuh dan mengakibatkan kecederaan parah.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Klang untuk dibedah siasat," katanya.
Menurutnya, orang ramai atau saksi kejadian diharap tampil di mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
"Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.