Prosiding 1MDB kekal didengar Hakim Sequerah

Iklan
Sequerah, Najib

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menarik diri daripada mendengar kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat.

Susulan keputusan itu, perbicaraan kes 1MDB kekal dibicarakan mengikut jadual yang ditetapkan.

Iklan
Iklan

Ketika membaca keputusan ringkasnya, hakim ini berkata, bekas Perdana Menteri itu gagal menunjukkan situasi berat sebelah bagi menggugurkannya daripada mendengar perbicaraan berkenaan.

Menurutnya, selaku hakim dalam perbicaraan kes 1MDB, beliau tidak akan menimbulkan konflik kepentingan atau tidak berlaku adil terhadap tertuduh.

Iklan

"Bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan meninggalkan dari firma guaman Tetuan Zain & Co pada 31 Disember 2008.

"Jadi, sejak 15 tahun lalu, saya tidak berkomunikasi dengan peguam 1MDB itu sama ada secara professional mahupun peribadisekali gus menunjukkan tiada hubungan antara kami," katanya.

Iklan

Jika Jasmine dipanggil menjadi saksi dalam kes ini, beliau berkata, penilaian secara objektif membabitkan kredibilitinya tidak akan membangkitkan isu berat sebelah sama ada secara sedar atau tidak sedar.

Sejurus keputusan itu dibuat, peguam, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Ahli Parlimen Pekan ini memohon perbicaraan pada Jumaat, ditangguhkan kerana pihaknya mahu membuat rayuan berhubung keputusan itu, di Mahkamah Rayuan, namun ia ditolak oleh Sequerah.

Prosiding kemudian diteruskan dengan Muhammad Shafee menyoal balas saksi pendakwaan ke-46, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Pada Isnin lalu, Najib memfailkan permohonan supaya Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan) menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1MDB, yang dihadapinya.

Perkara itu dibangkitkan selepas Sequerah, pada bulan lepas, mendedahkan bahawa beliau pernah berkhidmat dengan bekas peguam 1MDB iaitu Jasmine Loo Ai Swan, berada dalam tahanan polis.

Pada 12 Julai, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa Jasmine telah ditahan polis pada 7 Julai bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana 1MDB.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.