KUALA LUMPUR - Pembinaan lebih banyak projek perumahan untuk penduduk berpendapatan rendah di kawasan bandar mampu membantu merealisasikan impian golongan B40 dan M40 untuk memiliki kediaman pada harga berpatutan, bersesuaian dengan status kewangan mereka.
Mengalu-alukan saranan kerajaan agar lebih banyak pendekatan sedemikian dilaksanakan pemaju, pensyarah ekonomi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Dr Jain Yassin berkata, kajian di lapangan juga menunjukkan permintaan untuk rumah yang berharga rendah adalah tinggi terutama di kawasan bandar dan subbandar.
"Tetapi malangnya jumlah yang dibina oleh pemaju adalah terhad menyebabkan ramai daripada mereka (B40 dan M40) ‘bergelut’ untuk memiliki rumah sendiri sedangkan ia keperluan utama untuk menjalani kehidupan yang baik berbanding hendak menyewa.
"Oleh itu, apabila ada tindakan mengalakkannya (bina lebih banyak projek), ia sangat dialu-alukan dan kalau boleh harus meliputi semua negeri,” katanya kepadanya Bernama di sini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin MADANI serta Pusat Penjaja MADANI di ibu negara semalam menekankan bahawa golongan berpendapatan rendah tidak boleh disisihkan daripada arus pembangunan dan oleh itu, beliau mahu pemaju membina lebih banyak projek perumahan berkenaan di kawasan bandar.
Bagaimanapun, seiring dengan pembangunannya itu, Jain yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan berkata beberapa perkara perlu diperhalusi kerajaan bagi memastikan pemilikannya kelak benar-benar memanfaatkan individu yang memerlukan."Ini termasuk memperketatkan tapisan proses pembelian kerana pernah berlaku kes, rumah yang dibeli tidak dihuni sendiri oleh pembeli sebaliknya disewa atau dijual kepada individu lain dan menyebabkan ketidakadilan kepada individu yang benar-benar memerlukan rumah. Bukan bermaksud bila kita ketatkan tapisan, kita ingin menyusahkan mereka yang ingin membeli,” katanya.
Sementara itu, penduduk di beberapa negeri mahu pihak pemaju mengambil serius saranan kerajaan bagi memastikan nasib golongan kurang berkemampuan terus terbela.
Di JOHOR, peniaga kecil, Mohd Said Mustaffa, 59, mahu saranan itu dijadikan sebagai dasar wajib kepada pihak pemaju dalam usaha memastikan golongan berpendapatan rendah tidak terus dipinggirkan untuk memiliki kediaman di kawasan bandar.
Pengasuh, Darina Azam, 33, pula berkata saranan itu sememangnya langkah yang dinantikan bagi memastikan lebih ramai golongan berpendapatan rendah dapat merealisasikan impian untuk memiliki kediaman di samping perlu memudahkan urusan jual beli rumah seperti kos guaman, kos perkhidmatan dan lain-lain kos terlibat.
Di MELAKA, penjawat awam Nurul Ashikin Abdul Halim, 30, menyifatkan saranan itu tepat pada masanya memandangkan ketika ini ramai masyarakat masih bergelut dengan cabaran kewangan untuk memiliki kediaman sendiri.Di PERAK, pekerja swasta Amirrul Rabbani Rashid, 29, pula berharap maklumat mengenai pembangunan projek disampaikan secara berkesan kepada golongan sasar agar pelaksanaannya mencapai matlamat sebenar.
Di PULAU PINANG, pekerja kilang Faizatul Husna Mohd Syukran, 30, percaya langkah menyediakan lebih banyak rumah sedemikian sangat membantu golongan berpendapatan rendah selain mereka tidak perlu lagi menyewa rumah yang kebanyakannya disewa dengan harga mahal.
"Selain itu ia perlu dilengkapi juga dengan kehijauan kawasan, kemudahan rekreasi dan kemudahan rakyat termasuk gerai MADANI.
"Saya percaya rumah untuk penduduk berpendapatan rendah sangat penting kerana ini antara peluang kami membeli rumah berbanding terus menyewa yang harganya juga semakin meningkat.
"Kalau dulu zaman ayah saya kerja di Pulau Pinang boleh dapat rumah kos murah bawah harga RM50,000 namun sekarang saya tidak pasti masih ada ke tidak. Jadi saya percaya cadangan Perdana Menteri mahukan banyak projek perumahan untuk penduduk berpendapatan rendah sangat membantu golongan seperti kami yang tak mampu beli rumah sekarang ini," katanya. - Bernama