Premis tiada lesen diarah tutup, DBKL keluar 110 kompaun

Iklan
Tindakan penguatkuasaan diambil selepas 89 premis makanan di periksa petugas DBKL.

KUALA LUMPUR - Sebanyak 110 kompaun dikeluarkan dan lima premis makanan dikenakan tindakan arahan penutupan dalam operasi tiga hari dilaksanakan sekitar ibu negara berakhir Khamis.

Tindakan penguatkuasaan itu diambil selepas sejumlah 89 premis makanan diperiksa oleh 64 petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam operasi besar-besaran pada kali ini.

Iklan
Iklan

DBKL melalui laman Facebooknya berkata, kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan WPKL 2016, Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan WP 1979 dan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

Menurut kenyataan, lima premis yang diarahkan tutup pula diambil tindakan di bawah UUK Perlesenan Petempatan Makanan 28(1) WPKL 2016.

Iklan

"Tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap premis-premis terbabit kerana gagal mematuhi kehendak-kehendak kesihatan.

"Antaranya menjalankan perniagaan tanpa lesen perniagaan yang sah dan pemilik serta pekerja gagal mendapatkan suntikan typhoid dan menghadiri kursus pengendali makanan," katanya.

Tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap premis yang gagal mematuhi kehendak kesihatan.

Iklan

Terdahulu, petugas pihak berkuasa tempatan itu menjalankan operasi pemeriksaan di PV 228, Jln Genting Klang, pangsapuri Sri Penara, Jln Kuchai Maju 8, Taman Perindustrian IKS dan Taman Koperasi Polis Fasa 2.

Turut diperiksa ialah premis makanan di sekitar Jalan Radin Bagus 3 dan 6 Bandar Sri Petaling, Jalan Taman Bukit Cheras, Alam Damai, Jalan Metro Perdana 1, Jalan Malinja 2, Jalan Prima Setapak 3 dan Medan Selera Lotus Selayang.

Dalam pada itu, DBKL akan meneruskan tindakan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengusaha premis makanan mematuhi kehendak-kehendak kesihatan yang telah ditetapkan.