Edar dadah: Dua lelaki dipenjara 30 tahun, 12 sebatan

Iklan

SEREMBAN - Dua rakan dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan dikenakan 12 sebatan oleh mahkamah tinggi di sini kerana mengedar dadah jenis methamphetamine hampir lima tahun lalu di Nilai.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Zarif Mohd Noor Ajala, 46, dan Mohd Najmi Abd Rahim, 36, selepas perbicaraan penuh dijalankan dan tertuduh didapati bersalah.

Iklan
Iklan

Azman ketika menjatuhkan hukuman memaklumkan kepada kedua-dua tertuduh supaya bersyukur kerana terdapat pindaan yang mana mahkamah boleh menjatuhkan hukuman pilihan iaitu pemenjaraan dan tidak menjatuhkan hukuman gantung.

"Disebalik apa yang terjadi pada kamu berdua (tertuduh) terdapat perkara yang patut kamu bersyukur iaitu pindaan kepada hukuman gantung diluluskan, yang mana sebelum ini ramai didapati bersalah atas kesalahan ini digantung sampai mati.

Iklan

"Ini semua bergantung kepada kepercayaan kita mana-mana agama anutan, kalau kita tidak ditakdirkan mati di tali gantung semenangnya begitulah takdir," katanya.

Hakim turut menegaskan bagi rayuan yang bakal difailkan nanti hanya hukuman sebatan sahaja ditangguhkan sehingga rayuan selesai, namun hukuman penjara berjalan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap.

Iklan

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh bersama-sama pada 18 September 2018 pada jam lebih kurang 3.45 petang di sebuah restoran makanan segera di Persiaran Pusat Bandar, Nilai telah didapati mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine berat bersih 768.9 gram.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Mohd Najmi pada tarikh, masa dan tempat sama turut didakwa memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine berat bersih 13.11 gram.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) Akta yang sama.

Bagi pertuduhan ini, Mohd Najmi dijatuhi hukuman dua tahun penjara dari tarikh dia ditangkap dan tiga sebatan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly, manakala tertuduh pertama diwakili peguam, Wan Shahrizal Wan Ladin dan tertuduh kedua diwakili peguam, R Palaya.