KUALA LANGAT - Kegiatan curi kabel yang dilakukan seorang lelaki di sekitar daerah ini sejak tiga bulan lalu akhirnya memakan diri selepas diberkas polis di Tanjung Sepat, di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, suspek berusia 25 tahun yang memiliki dua rekod jenayah itu ditahan sepasukan anggota cegah jenayah Balai Polis Tanjong Sepat, kira-kira jam 3 pagi.
Iklan
Iklan
"Polis telah merampas sembilan gulung kabel tertera tulisan Telekom Malaysia dan lapan batang kabel dianggarkan bernilai RM40,000.
"Selain rampasan sebotol minuman disyaki air ketum, turut dirampas ialah peralatan diguna semasa kegiatan curi seperti pemotong kabel dan pisau pemotong daging," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, dengan tertangkapnya suspek, polis percaya telah menyelesaikan empat kes curi kabel di sekitar Tanjung Sepat.
Katanya, siasatan masih dijalankan untuk memburu dua lagi rakan suspek yang masih bebas.
"Suspek kini direman tiga hari untuk siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," ujarnya.