PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan kelab itu tidak akan berhenti mencipta rekod demi rekod dalam saingan domestik dan di peringkat tertinggi pada masa akan datang.
Menurut Tunku Ismail, JDT akan terus menjadi kelab peneraju di negara ini dan melangkah ke hadapan untuk terus memajukan pasukan.
"Rekod demi rekod. Sentiasa mencipta sejarah dan memecahkan rekod. Sentiasa melangkah ke hadapan. Kami peneraju, bukan muzium," tulis TMJ dilaman Instagramnya.
JDT layak untuk mendabik dada di sebalik setiap pencapaian yang telah dilakar kelab itu setakat ini.
Harimau Selatan tampil dengan persembahan luar biasa musim ini selepas memenangi semua perlawanan dan berada di kedudukan teratas Liga Super dengan 11 mata dan memerlukan hanya satu kemenangan untuk mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut.
Ia bakal menyaksikan JDT melakar rekod baharu selaku pasukan pertama berjaya mempertahankan kejuaraan liga utama Malaysia selama sedekad.
Selain itu, ranking JDT di peringkat Asia juga terus menunjukkan peningkatan apabila tersenarai dalam kedudukan 20 pasukan terbaik di Asia selain menjadi pasukan nombor satu di Asia Tenggara.
Malah, JDT turut memperbaiki kedudukan ranking dunia apabila tersenarai di kedudukan ke-415 dunia berbanding ke-447 dunia pada Julai lalu berdasarkan data dari laman analisis bola sepak, Opta Analyst yang menyenaraikan hampir 13,500 ranking kelab bola sepak seluruh dunia.
Tidak ada pasukan lain dari Malaysia berada dalam senarai 1,500 pasukan terbaik dengan pasukan Liga Malaysia lain berada di tangga 1,896 dan ke bawah.