PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan pada Jumaat membenarkan rayuan calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri M Ramasamy supaya petisyen pilihan raya kerusi Parlimen Segamat dikembalikan kepada Mahkamah Pilihan Raya untuk satu perbicaraan penuh.
Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Mary Lim Thiam Suan memerintahkan petisyen itu didengar di hadapan hakim lain.
Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 3 April tahun ini yang menolak petisyen rayuan Ramasamy selepas menerima bantahan awal dibangkitkan responden.
Responden yang dinamakan dalam petisyen itu ialah Ahli Parlimen Segamat R.Yuneswaran, pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Zabariah kemudiannya menetapkan 24 Ogos ini untuk sebutan semula kes itu di Mahkamah Pilihan Raya.
Pada PRU15 yang diadakan pada November tahun lepas, Yuneswaran memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,669 undi dan diisytiharkan sebagai Ahli Parlimen yang dipilih bagi kawasan itu mengalahkan Ramasamy, P. Poobalan daripada Perikatan Nasional dan Syed Hairoul Faizey daripada Pejuang.
Ramasamy, yang merupakan Bendahari MIC, bertanding sebagai calon BN.
Dalam petisyennya, Ramasamy antara lain memohon pengisytiharan bahawa pilihan raya bagi kawasan Parlimen Segamat adalah terbatal dan pengisytiharan bahawa Yuneswaran tidak dipilih sebagai Ahli Parlimen.
Hakim Mahkamah Pilihan Raya Mohd Radzi Abdul Hamid menolak petisyen pilihan raya Ramasamy selepas menerima bantahan awal yang dikemukakan responden (Yuneswaran, pegawai pengurus pilihan raya dan SPR) bahawa petisyennya (Ramasamy) cacat kerana gagal mematuhi kehendak Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Peraturan Petisyen Pilihan Raya.
Ramasamy diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sementara Lau Yi Leong mewakili Yuneswaran dan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan mewakili pegawai pengurus pilihan raya dan SPR. - Bernama