JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) dan rakannya Barisan Nasional (BN) Johor memilih 23 Ogos ini sebagai tarikh pengumuman calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Timbalan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, majlis pengumuman calon di Simpang Jeram Muar itu akan dilakukan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu.
Jelasnya, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dijangka turut hadir pada majlis pengumuman calon berkenaan.
"Sebelum majlis pengumuman itu diadakan, bacaan tahlil untuk Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub di sebuah masjid di Simpang Jeram turut akan diadakan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pertemuan BN dan PH Johor di Ibu Pejabat UMNO Johor pada Jumaat.
Hadir sama, Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad dan Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kaiat.
Berhubung dua calon yang diputuskan, Aminolhuda yang juga Pengarah Pilihan Raya Amanah Johor berkata, kedua-dua calon berkenaan adalah anak tempatan dan anak Johor.
"Kedua-duanya juga adalah calon muka baharu di dua kawasan itu selain berpendidikan tinggi serta memiliki Ijazah Sarjana.
"Siapa dua calon itu kena tunggu pengumuman Rabu depan," katanya.
Sementara itu, Mohamed Khaled menjelaskan BN Johor memberi jaminan akan membantu gerak kerja dan jentera menyokong dua calon diturunkan PH di dua kerusi itu.
Beliau berkata, UMNO dan BN berpendirian, mana-mana parti yang dahulu menyandang jika berlaku kekosongan mana-mana kerusi, maka parti itu akan menggantikannya.
"Kita sedia maklum memang PH menyandang di kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, maka sebab itulah pada PRK kali ini ia akan diwakili calon PH.
"BN terutamanya UMNO sebagai parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan akan bersama-sama bantu jentera PH di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram sebagai anggota yang membentuk kerajaan Persekutuan," katanya.
PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub, 23 Julai lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos manakala pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian pula pada 9 September.