PUTRAJAYA - Tugas sebagai penunggang penghantaran atau ‘riders’ ini bukanlah kerja yang mudah. Hanya yang berjiwa kental dan sanggup mengharungi risiko sahaja yang boleh melaksanakannya demi mengukir senyuman kepada para pelanggan yang menanti.
Memahami akan penat-lelah para ‘riders’ ini, McDonald’s Malaysia menyantuni golongan berkenaan di seluruh negara dengan menyediakan 65,000 hidangan percuma yang sedikit sebanyak dapat memberi kegembiraan kepada mereka.
Program yang digerakkan McDonald’s Malaysia ini turut menggalakkan rakyat Malaysia untuk turut serta dalam merai serta menzahirkan penghargaan kepada para ‘riders’ yang terdiri daripada lelaki dan wanita.
Realitinya, golongan ‘riders’ ini dianggap sebagai barisan hadapan kerana sumbangan mereka terhadap pembangunan industri perkhidmatan negara amatlah besar.
Justeru, #MekdiBelanjaRider #TerimaKasihAbangRider ini adalah manifestasi McDonald’s Malaysia yang ikhlas berkongsi rezeki yang diharap dapat menyuntik semangat para ‘riders’ untuk terus bersama-sama memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia.
Menghargai golongan ‘riders’
Menurut Naib Presiden dan Ketua Pemasaran McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai, pihaknya sentiasa mencari jalan untuk menambah baik manfaat serta insentif kepada semua kakitangan termasuk ‘riders’ sebagai komitmen McDonald’s Malaysia yang sentiasa menghargai mereka.
"Bagi memelihara kebajikan riders McDelivery, McDonald’s Malaysia memastikan mereka dilindungi oleh Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
"Selain itu, kita juga menyediakan pelbagai faedah tambahan kepada ‘riders’ McDelivery termasuklah makanan percuma pada masa-masa tertentu, tuntutan jarak perjalanan dan pakej telekomunikasi bagi meringankan beban dan memudahkan urusan kerja mereka. Lebih menarik, terdapat juga bonus istimewa bagi menggalakkan prestasi ‘riders’,” katanya ketika ditemui semasa program Mekdi Belanja Rider di Putrajaya pada Khamis.
Hadir sama dalam program itu ialah Pengarah Kanan Operasi, McDonald's Malaysia, Felina Lim dan Ketua Pegawai Teknologi, McDonald’s Malaysia, Zaid Hasman.
Tambah Melati, golongan ‘riders’ ini merupakan teras utama operasi perniagaan yang mana sekiranya ketiadaan mereka akan memberi implikasi besar kepada pertumbuhan syarikat.
Justeru, manfaat serta insentif yang disediakan kepada ‘riders’ ini merupakan kemudahan ke atas usaha mereka yang memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia.
"Kerja mereka ini bukan senang memandangkan pelbagai dugaan perlu harungi. Hantar makanan tanpa mengira siang atau malam, hujan atau panas. Apa yang penting bagi mereka adalah makanan dihantar, diterima oleh pelanggan,”ujarnya.
Program Mekdi Belanja Rider ini telah masuk tahun ketiga pelaksanaannya dan akan sentiasa ditambah baik bagi memastikan objektif dapat disemarakkan lagi untuk manfaat golongan ‘riders’.
"Alhamdulillah, ini tahun ketiga kami menganjurkannya dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua pihak,” jelasnya.
Dalam pada itu, Melati turut menyatakan pihaknya menzahirkan rasa terima kasih ‘riders’ yang sentiasa memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia dengan kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada para pelanggan.
"Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada semua ‘riders’ di seluruh negara kerana selain menghantar makanan, mereka sebenarnya melakukan lebih daripada itu,” ujarnya.
#MekdiBelanjaRider #TerimakasihAbangRider.