SHAH ALAM - Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 perlu digubal semula bagi tujuan menangani isu pendatang asing tanpa izin yang memandu kenderaan tanpa Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang sah.
Menurut Pengerusi Surplus Pulau Pinang, Sophian Mohd Zain, ahli Parlimen memainkan peranan penting untuk memastikan masalah berkenaan dapat diselesaikan.
"Mereka (ahli Parlimen) perlu membawa satu usul yang baharu melibatkan Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 untuk digubal dan diteliti semula mengikut keadaan semasa.
"Bagi saya akta yang berusia 36 tahun melibatkan pengangkutan jalan raya sudah tidak relevan memandangkan kini negara berhadapan dengan lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pelarian,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu program Di Sebalik Isu bersama FY yang bertajuk Malaysia ‘syurga’ pendatang? yang berlangsung di Kompleks Kumpulang Karangkraf pada Jumaat.
Program itu dihoskan oleh Finaz Yunus dan turut menampilkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Mengulas lanjut, Sophian berkata, masalah pendatang asing yang memandu kenderaan tanpa LKM tidak dapat diselesaikan dengan mengadakan Ops Pemandu Warga Asing (Pewa) setiap minggu.
"Apabila tangkapan atau tahanan dibuat melibatkan warga asing yang menaiki kenderaan, mereka akan dikenakan saman sebanyak RM300 dan motosikal juga akan sita.
"Bagaimanapun, pemilik motosikal tersebut akan datang Jabatan Pengangkutan Jalan bersama-sama dokumen lengkap untuk menuntut semula kenderaan yang disita, namun ia tidak terhenti di situ sebaliknya mereka (pemilik motosikal) akan menyerahkan semula kepada golongan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Sophian mendakwa bahawa majikan tempatan menggajikan pendatang asing disebabkan rakyat Malaysia tidak memiliki keinginan untuk bekerja.
Tambah beliau, sentimen berkenaan kemudiannya akan dibawa ke media sosial sehingga menjadi satu isu besar yang menyatakan rakyat tempatan malas untuk bekerja.
Jelas beliau, kebanyakan majikan berpandangan bahawa pekerja warga asing itu memiliki sikap rajin kerana sanggup bekerja lebih 12 jam.
"Mustahil untuk bekerja seperti mereka (warga asing) kerana di sini kita ada ibu, ayah, isteri, anak dan rakan-rakan semata-mata untuk meraih pujian daripada majikan," ujarnya.