Pemuda dipaksa penggal kepala rakan sendiri

Iklan
Tangkap layar menunjukkan (dari kiri) Roberto Olmeda, 20; Diego Lara, 20; Uriel Galván, 19; Dante Cedillo, 22; dan Jaime Martínez, 21, melutut sambil memberikan pandangan sayu ke arah lensa kamera. - Agensi

GUADALAJARA - Imej ngeri merakamkan detik-detik terakhir lima sahabat yang dibunuh kartel dadah termasuk seorang daripada mereka yang dipaksa memenggal kepala rakan baiknya sebelum dia sendiri dibunuh telah menggemparkan Mexico.

Rakaman video dikeluarkan oleh anggota kartel Jalisco New Generation Cartel (CJNG) pada Selasa menunjukkan Roberto Olmeda, 20; Diego Lara, 20; Uriel Galván, 19; Dante Cedillo, 22; dan Jaime Martínez, 21, melutut sambil memberikan pandangan sayu ke arah lensa kamera.

Iklan
Iklan

Kesemua mangsa mengalami lebam di muka dengan pita di mulut dan tangan diikat ke belakang.

Lima sahabat itu kali terakhir dilihat pada 11 Ogos lalu di Lagos de Moreno di negeri Jalisco yang terkenal dengan reputasi culik dan bunuh melibatkan kartel dadah.

Iklan

Difahamkan, mereka dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri festival di bandar tersebut.

Saksi berkata, sekumpulan lelaki bersenjata menahan kenderaan dinaiki mangsa di Mirador San Miguel sebelum memindahkan mereka ke dalam pikap dan van putih bercermin gelap.

Iklan

Tidak lama selepas itu, video mengejutkan memaparkan mangsa dibunuh telah disebarkan anggota CJNG di media sosial dengan salah seorang mangsa dipaksa memukul, menikam serta memenggal kepala rakan baik yang dikenali sejak kecil.

Dalam video itu, tulisan di dinding 'Puro MZ' jelas kelihatan dipercayai merujuk kepada El Mayo Zambada iaitu ketua Kartel Sinaloa (CDS) yang merupakan musuh utama CJNG.

Sementara itu, ahli keluarga mendakwa pakaian dan penampilan semua mangsa dalam video ngeri tersebut sepadan dengan saudara mereka yang hilang.

Pada Rabu, pihak berkuasa menemui empat tengkorak manusia rentung di sebuah hartanah terbiar di kawasan kejiranan La Orilla Del Agua.

Polis turut menemui beberapa kasut yang bertaburan serta percikan darah, sekali gus memberi petunjuk bahawa ia adalah lokasi di mana kesemua mangsa ditahan dan dibunuh.

Kenderaan milik mangsa yang hangus dan terdapat mayat rentung di dalamnya turut ditemui di sebatang jalan berhampiran hartanah tersebut.

Gabenor Enrique Alfaro mengutuk pembunuhan kejam itu dan mengaitkannya dengan jenayah terancang.

"Ini adalah serangan yang tidak rasional, ganas dan menjejaskan kestabilan negeri Jalisco dan kami menuntut reaksi daripada kerajaan," kata Alfaro.

Pegawai di Jalisco berkata mereka sedang menyiasat video mengerikan itu, tetapi meminta pendakwa raya persekutuan mengambil alih kes berkenaan.

Presiden Andres Manuel Lopez Obrador bagaimanapun tidak memberi petunjuk bahawa kerajaan akan mengambil alih siasatan.

Pada tahun 2010, kartel Los Zetas menculik penumpang lelaki sebuah bas dan memaksa mereka berlawan menggunakan tukul sehingga mati sekiranya enggan bekerja dengan kumpulan itu.

Jenayah itu terbongkar selepas polis menemui 193 rangka dalam 48 kubur di negeri Tamaulipas pada 2011.

Pemeriksaan mendapati, kebanyakan tengkorak mangsa retak akibat impak tukul.

CJNG kumpulan kartel paling berpengaruh di Mexico dan salah sebuah kartel terbesar serta paling kejam di dunia dengan cawangannya turut berada di seluruh Amerika Tengah dan Utara.

Menurut laporan Daily News yang berpangkalan di New Mexico, dua bekas rekrut remaja berusia 16 dan 17 tahun memberitahu pendakwa raya bahawa mereka telah dipaksa memakan daging mangsa penyeksaan kumpulan tersebut. - Agensi