MELAKA - Biarpun pernah kehilangan tempat bergantung selepas gagal dalam perkahwinan, namun bukan penghalang untuk seorang wanita terus bangkit.
Rejamaiyah Hassan, 39, yang berasal dari Felda Serting, Jempol, Negeri Sembilan, berkata, berbekalkan pengalaman menjahit baju koporat dia dapat menyara empat orang anaknya.
Menurutnya, bermula daripada menjahit dia kemudian memberanikan diri membina perniagaan sendiri iaitu 'Sewa Baju Murah Deja' yang menyediakan khidmat menyewa pakaian untuk majlis keraian.
Katanya, kesemua pakaian yang terdapat di kedainya dijahit dan direka sendiri selepas membeli kain daripada pembekal tempatan.
"Dari kegagalan berumah tangga saya bangkit dan berhijrah ke Melaka untuk berdikari membesarkan anak-anak.
"Dengan wang simpanan yang ada saya gunakan sebagai modal permulaan untuk membeli kain dan ketika itu berjaya hasilkan 100 helai pakaian pelbagai warna," katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Katil di sini, pada Sabtu.
Jelasnya, sebelum itu dia pernah mencari pekerjaan lain namun sukar kerana berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan hanya mempunyai kemahiran menjahit.
Ujarnya, perkhidmatan sewaan pakaian yang diusahakan sejak lima tahun lalu semakin mendapat sambutan dan kini mempunyai lebih 500 pasang pakaian koleksi sendiri.
Katanya, walaupun hanya beroperasi di rumah namun bersyukur perniagaan itu turut dibantu suami dan empat anaknya berusia sembilan hingga 21 tahun.
"Apa yang penting, harga sewa pakaian yang ditawarkan berpatutan antara RM60 hingga RM300 bergantung kepada jenis pakaian dan aksesori diperlukan bermula dari topi hingga kasut.
"Kita berusaha berikan harga yang murah, dalam masa sama mementingkan kualiti," katanya yang mengakui setiap bulan mendapat tempahan sewa pakaian.
Dia berharap perniagaan yang diusahakan secara kecil-kecilan di depan rumahnya terus berkekalan dan merancang untuk mempelbagaikan lagi pakaian termasuk baju pengantin pada masa akan datang.