JOHOR BAHRU - Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat bersedia menggalas tanggungjawab sebagai calon Kerajaan Perpaduan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Pulai.
Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, berazam mahu menggunakan segala pengalaman sebagai Ssetiausaha Politik kepada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub untuk meneruskan khidmat kepada penduduk di Pulai.
"Saya akan melaksanakan tugas dengan baik bagi membalas kepercayaan diberikan pucuk pimpinan PH dan Amanah untuk saya bertanding di Parlimen Pulai.
Parlimen Pulai juga amat dekat di hati saya.
"Ini kerana bukan sahaja saya Ketua Amanah Pulai, malah ketika Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub menyandang kerusi itu, saya sebagai Setiausaha Politik, menyusun segala aktiviti turun padang dan menemaninya setiap kali aktiviti diadakan.
Selain itu, saya turut menjadi wakilnya di kawasan menerima pelbagai aduan masyarakat," katanya ketika ditemui pada Sabtu.
Suhaizan yang juga Ketua Amanah Pulai diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Pulai oleh Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu dalam kenyataan dikeluarkan pada Sabtu.
Sebelum ini, Suhaizan pernah bertanding di Parlimen Parit Sulong pada 2004, Parlimen Simpang Renggam (2013), Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup (2018) dan DUN Pulai Sebatang (2022).
Pada 8 Ogos lalu, Sinar Harian melaporkan Suhaizan antara nama calon yang berkemungkinan diturunkan sebagai calon Parlimen Pulai, selain anak Allahyarham, Siti Fatihah Salahuddin.
Dalam pada itu, Suhaizan yang merupakan bekas pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, pelbagai isu akan diberi tumpuan di Parlimen Pulai termasuk permasalahan rakyat di Program Perumahan Rakyat (PPR) yang banyak di kawasan Pulai.
"Parlimen Pulai terletak di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru dan terdapat empat PPR besar di Kempas, Melana, Uda Utama dan Perling yang memerlukan perhatian berikutan jumlah penduduk yang ramai di situ.
"Selain itu, banyak isu-isu perumahan, penempatan penduduk serta infrastruktur yang perlu diberi perhatian terutama masalah komuniti termasuk parkir, lif, jalan serta isu perparitan menjadi rungutan penduduk," katanya.
Pada PRU15 yang lalu, Salahuddin berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Pulai selepas memperoleh 64,900 undi.
Allahyarham menang dengan majoriti 33,174 undi menewaskan Datuk Nur Jazlan Mohamed (Barisan Nasional) yang memperoleh 31,726 undi manakala calon Perikatan Nasional (PN), Loh Kah Yong dengan undi sebanyak 20,677.
Salahuddin juga berjaya mempertahankan DUN Simpang Jeram buat penggal kedua pada PRN Johor tahun lalu, apabila memperoleh 8,749 undi mengalahkan calon PN, Zarul Salleh (6,350 undi), calon BN, Lokman Md Don (6,062) dan calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Mahaizal Mahmor dengan 208 undi.
PKR Cabang Pulai sokong Suhaizan calon PRK Parlimen Pulai
Dalam pada itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pulai menyokong sepenuhnya Suhaizan yang diumum sebagai calon PH bagi PRK Parlimen Pulai, 9 September ini.
PKR Cabang Pulai dalam satu kenyataan memberitahu, keputusan tersebut dipersetujui selepas mesyuarat yang dipengerusikan Ketua cabang berkenaan, Jimmy Puah Wee Tse pada Jumaat.
"Parti Keadilan Rakyat Cabang Pulai sangat mengalu-alukan kerjasama daripada semua parti Kerajaan Perpaduan di Parlimen Pulai.
"Atas semangat ini, Parti Keadilan Rakyat Cabang Pulai akan menggembleng seluruh kekuatan dan tenaga bagi memenangkan calon Kerajaan Perpaduan di Parlimen Pulai," menurut kenyataan itu.