MP UMNO terdesak sanggup tarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan

Iklan
Nur Jazlan

JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen UMNO yang terdesak akan sanggup menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan termasuk melepaskan jawatan sehingga menyebabkan berlakunya pilihan raya kecil (PRK).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, mereka akan membuat apa sahaja tanpa mengira kesannya terhadap kestabilan politik.

Iklan
Iklan

"Buat masa sekarang ini saya percaya Kerajaan Perpaduan masih selamat kerana adanya Akta Anti Lompat Parti.

"Tapi tak tahulah kalau ada Ahli Parlimen UMNO yang sanggup nak letak jawatan dan cetuskan PRK lagi.

Iklan

Sebab jenis 'desperado' politik ini, mereka sanggup buat apa saja demi nak penuhi hawa nafsu untuk berkuasa," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, sekiranya itu tidak berlaku maka Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih ada empat tahun lagi untuk menyakinkan pengundi bahawa Kerajaan Perpaduan adalah yang terbaik untuk negara.

Iklan

"Jadi semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan di semenanjung ini baik UMNO, PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan DAP perlu memikirkan bagaimanakah cara untuk berdepan dengan dakyah Pas serta PN (Perikatan Nasional) dan memastikan kerajaan hari ini dapat bertahan kukuh hingga habis penggal pentadbiran," ujar beliau.

Dalam pada itu, Nur Jazlan berkata, kesan daripada kemerosotan sokongan Melayu terhadap UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri adalah kesan daripada serangan cauvinis Cina dalam DAP dan cauvinis Pas.

"Sebab itulah apa yang saya nampak kesan jangka panjang PRU15 dan PRN lepas adalah satu hasil yang boleh dianggap sebagai 'by default'.

Ini kerana walaupun DAP jadi parti paling cemerlang yang menang 46 kerusi daripada 47 yang ditandingi (98 peratus), namun kemerosotan jenama UMNO yang semakin merudum kerana serangan dari cauvinis Cina dalam DAP telah menggoyahkan UMNO sebagai benteng untuk menyekat kemaraan cauvinisme Pas yang jadikan agama sebagai modal politik.

"Dek kerana doktrin DAP yang mempengaruhi pengundi Cina untuk memilih satu parti sahaja membuatkan sejak lebih dua dekad akhirnya sudah memakan diri apabila pengundi Melayu juga dilihat sudah memilih untuk memberi undi mereka kepada satu parti iaitu Pas," dakwanya.

Apatah lagi katanya, dengan imej UMNO yang semakin dirosakkan oleh musuh luar dan pihak dalaman sendiri membuatkan parti memperjuangkan Melayu dan dalam masa sama menjaga hak bukan Melayu semakin dipinggirkan.

"Jika keadaan kronik ini berterusan, maka DAP tiada pilihan lain kecuali mungkin mereka kena pilih Pas untuk membentuk kerajaan di masa depan.

Sanggup dan beranikah DAP untuk rujuk semula dengan Pas yang telah ceraikan mereka puluhan tahun dulu?," soalnya.

Ketua UMNO Bahagian Pulai itu berkata, nasib malang itu bukan hanya akan merugikan UMNO tetapi juga merugikan mereka yang selama ini sibuk menyerang parti sendiri dari dalam.

"Ini kerana kerosakan yang UMNO alami sekarang ini bukannya disebabkan oleh seorang pemimpin saja tapi jenama UMNO sendiri yang sudah dirosakkan oleh pelbagai faktor luaran dan dalam," tambahnya.