KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya Tan Cheng Hoe mengakui jaringan awal oleh pasukan Vietnam seakan ‘memusnahkan’ segala perancangan yang direncanakan beliau dalam aksi final kedua Piala AFF Suzuki 2018 di antara Malaysia dengan Vietnam, malam ini.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium My Dinh di sini, Malaysia menggigit jari setelah terlepas peluang terbaik untuk merangkul kejuaraan bola sepak paling berprestij di rantau Asia Tenggara itu selepas tunduk 0-1 kepada pasukan tuan rumah, sekali gus menyaksikan skuad Harimau Malaya kecundang 2-3 menerusi kiraan agregat.
Katanya, tiga kali melakukan kesilapan dalam tiga perlawanan bertemu Vietnam pada kempen Piala AFF Suzuki kali ini adalah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku.
"Memang saya sedar, tiga kali bertemu Vietnam, kita dibolosi dengan jaringan awal. Apabila terjadi pada malam ini, ia sedikit-sebanyak menggangu keyakinan pemain untuk bermain.
"Pada perlawanan sebelum ini kita berjaya melakukan ‘come-back’, tapi pada kali ini pemain tidak dapat menjaringkan gol dan beberapa peluang yang ada pun tidak dapat disempurnakan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Jaringan tunggal Vietnam malam ini dijaringkan oleh Nguyen Anh Duc pada minit keenam yang melakukan rembatan di dalam kotak penalti dan gagal ditepis oleh penjaga gol skuad negara, Farizal Marlias.
Keputusan itu menyaksikan Vietnam muncul juara buat kali kedua selepas 2008 manakala Malaysia pula meraih kejuaraan pada edisi 2010.
Untuk rekod, kedua-dua pasukan berkenaan seri 2-2 pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu. - Bernama