Khabar duka dari Kuala Lumpur

Iklan

BAZAR Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di Kuala Lumpur sudah sangat sinonim bagi rakyat Malaysia.

Bukan hanya menjadi tumpuan warga kota, ada orang sejauh dari Sabah dan Sarawak sanggup datang bercuti serta tinggal di hotel sekitar Jalan TAR untuk membeli-belah di bazar itu.

Iklan
Iklan

Walaupun bazar Jalan TAR hanya berlokasi di celah-celah lorong dan depan deretan kedai, namun hakikatnya ia adalah lubuk ekonomi bernilai jutaan ringgit.

Hasil laporan khas Sinar Harian baru-baru ini bertajuk 'Jutawan Bazar Ramadan' mendapati rata-rata peniaga boleh memperoleh keuntungan antara RM80,000 hingga RM100,000 sebulan.

Iklan

Dengan jumlah gerai mencecah 600 buah di bazar Jalan TAR, bayangkan anggaran transaksi urus niaga di situ sahaja boleh mencecah RM50 juta sebulan.

Tapi itu cerita gembira tahun-tahun lalu.

Iklan

Semalam genap empat hari, peniaga Jalan TAR berpindah tempat ke lokasi baharu di Jalan Raja atau lebih mudah, betul-betul di depan Dataran Merdeka.

Perkhabaran yang sampai ke telinga Merak Jalanan agak mendukacitakan.

"Semalam saya jual dua helai baju sahaja. Lepas laa duit buat berbuka puasa dengan pekerja,” kata seorang peniaga yang sempat diajak berbual semalam.

Katanya, berniaga di Jalan Raja amat jauh berbeza dengan Jalan TAR. Khemah yang cantik tidak menjanjikan kedatangan pengunjung.

Membandingkan dengan urus niaga di Jalan TAR pada awal Ramadan tahun-tahun sebelum ini, dia berkata, untuk mendapat keuntungan RM500 pada awal Ramadan bukan satu masalah, malah ada peniaga boleh membuat jualan sehingga RM2,000 dalam satu malam.

Katanya, lokasi Jalan Raja yang jauh dari arked atau gedung niaga lain membuatkan jumlah pengunjung di bazar itu merosot teruk.

Memburukkan lagi keadaan, dakwanya, ruang niaga yang sempit dan ketiadaan gerai-gerai jualan makanan menjauhkan lagi 'hati' pengunjung.

Kini lebih 300 peniaga lain di bazar itu hanya berharap pada rezeki cuti hujung minggu dengan harapan kisah duka mereka boleh bertukar gembira.