PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman mengajak pihak yang kurang senang dengan pasukan The Red Warriors (TRW) supaya tampil untuk berdepan dengannya.
Menurut Norizam atau lebih dikenali Zamsaham, beliau mengakui ada pihak yang sering menabur fitnah serta mahu melagakan dan merosakkan TRW.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, iklan jawatan kosong palsu yang direka di sebuah laman sesawang tawaran kerja mengenai kelab itu juga merupakan satu bukti fitnah kepada TRW.
"Iklan jawatan kosong pengarah teknikal TRW yang dibuat pada 14 Ogos itu bukan dibuat oleh TRW Kelantan FC, ia fitnah dan dibuat oleh 'hantu' yang memang nak melaga-laga dan rosakkan TRW.
"Saya dah minta pasukan undang-undang untuk membuat laporan kepada laman sesawang tersebut dan turut melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
"Kepada yang buat itu, kalau tak suka saya atau TRW... jumpa saya berdepan kan senang. Apa guna baling batu sembunyi tangan," katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Sabtu.
Sebelum ini, tular di sebuah laman sesawang iklan tawaran kerja yang memaparkan kelab itu mahu mencari individu untuk jawatan pengarah teknikal tetapi mahu membayar dengan gaji yang tidak setimpal dengan jawatan yang ditawarkan.