Nazri teruskan rancangan Salahuddin jika dipilih wakil rakyat

Iklan
Nazri Abdul Rahman - Foto Bernama

MUAR - Calon Amanah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman berkata, beliau akan meneruskan perancangan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub untuk penduduk Simpang Jeram sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat di situ.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri berkata, ia bagi memastikan perancangan untuk memelihara kebajikan dan meningkatkan sosioekonomi penduduk kawasan berkenaan dapat diteruskan.

Iklan
Iklan

"Jika ditakdirkan saya memenangi kerusi di sini pada 9 September nanti, saya akan teruskan perancangan yang direncanakan oleh arwah (Datuk Seri Salahuddin Ayub) ketika era beliau. Selain itu, ada juga yang akan ditambah baik semata-mata untuk kesejahteraan penduduk di sini,” katanya ketika dihubungi Bernama, pada Sabtu.

Sementara itu, Nazri turut berterima kasih kepada kepimpinan tertinggi Amanah serta gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk memberikan khidmat kepada masyarakat setempat.

Iklan

Nazri, 56, yang juga seorang jurutera merupakan graduan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan kini bertugas di Majlis Perbandaran Muar (MPM).

Awal hari ini, Presiden Amanah mengumumkan Nazri sebagai calon PH untuk kerusi DUN Simpang Jeram manakala Suhaizan Kaiat, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Johor sebagai calon PH untuk Parlimen Pulai. - Bernama

Iklan