JOHOR BAHRU - Kegagalan Pakatan Harapan (PH) dan BN menang dalam pilihan raya negeri (PRN) di Kedah, Terengganu dan Kelantan pada Sabtu lalu bukan disebabkan faktor 'gelombang hijau' sebaliknya isu ekonomi dan ketidakadilan Kerajaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, isu ekonomi dan ketidakadilan kerajaan Pusat di tiga negeri terbabit sejak berdekad lamanya telah memberi kesan sekali gus mempengaruhi pengundi.
Menurutnya, rakyat di tiga negeri itu termasuk Perlis merasa terpinggir kerana pembangunan ekonomi, industri dan pertanian masih jauh ketinggalan berbanding negeri lain seperti di pantai barat atau selatan semenanjung.
Jelasnya, sentimen dan kebencian terhadap kerajaan Pusat itu semakin menebal apabila empat negeri tersebut yang majoritnya Melayu masih dibelenggu serta mencatatkan kadar kemiskinan tertinggi.
"Ambil satu contoh konkrit sebagai fakta, bukan tohmahan melulu. Melalui Petronas kerajaan Pusat telah mendapat hasil minyak petroleum dari perut bumi dan laut Kelantan berbilion ringgit selama ini tetapi hak rakyat Kelantan untuk mendapatkan royalti minyak telah dinafikan.
"Rakyat Kelantan melalui kerajaan negerinya terpaksa menuntut hak royalti minyak mereka hingga ke mahkamah. Bertahun-tahun berjuang di mahkamah tetapi sehingga kini hak rakyat Kelantan itu dinafikan.
"Sentimen anti kerajaan Pusat yang menzalimi negeri Kelantan sejak berpuluh tahun ini telah menebalkan keyakinan mereka bahawa kerajaan Pusat tidak adil kepada rakyat Kelantan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, keadaan ini bukan baru berlaku di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi sejak BN dan UMNO memerintah negara lebih 60 tahun lalu yang menganaktirikan negeri tersebut terutama Kelantan dan Terengganu.
Katanya, satu contoh lagi ketidakadilan kerajaan Pusat apabila tidak memberi peruntukan sama rata di semua Parlimen termasuk kawasan diwakili pembangkang sekali gus tidak menghormati pilihan rakyat.
"Rakyat telah memilih ahli-ahli Parlimen mereka melalui peti undi secara demokrasi dalam pilihan raya. Ketika mengundi rakyat tidak tahu lagi calon yang mereka undi itu nanti jadi ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang. Jadi rakyat tidak patut dihukum (dengan tidak memberi peruntukan) jika ahli Parlimen kawasan itu jadi ahli Parlimen pembangkang," katanya.
Selain itu katanya, penduduk dari negeri terbabit juga tidak puas hati bahawa hak mereka sebagai orang Melayu di bawah dasar affirmatif mengikut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan telah dirampas.
Hassan berkata, perbuatan itu dilakukan individu, kroni dan elit-elit berkuasa Melayu yang korup, serakah dan tidak amanah semasa pemerintahan UMNO selama lebih 60 tahun berkuasa.
"Sebab itu UMNO kini pupus di Terengganu, Kelantan, Perlis dan Kedah. PKR (Parti Keadilan Rakyat), Amanah (Parti Amanah Negara) dalam PH yang bersekutu dengan UMNO mengalami nasib yang sama juga seperti calon UMNO di negeri-negeri Melayu Islam yang miskin dan mundur itu," ujarnya.
Kata Hassan, PH-BN tidak berjaya 'menakluk' negeri terbabit walaupun berkempen dan melakukan propaganda menggunaka media massa milik kerajaan termasuk akhbar arus perdana dan televisyen swasta tanpa malu.
"Kemudian ditambah dengan taburan peruntukan wang ringgit serta projek bernilai berbilion-bilion ringgit di tengah-tengah waktu berkempen yang jelas salah dari segi etika dan moral amalan pilihan raya demokrasi, walaupun dibenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPRM) dan undang-undang.
"Perlu tanya diri sendiri kenapa rakyat Melayu Islam di negeri-negeri jajaran timur dan utara itu tetap menolak PH-BN," soalnya.