Harimau Selatan 'ratah' Red Warriors 10-0

Iklan
Bergson berjaya melepasi kawalan pertahanan Kelantan FC. - Foto Facebook Johor Southern Tigers

SKUAD Johor Darul Ta'zim mengesahkan slot ke suku akhir Piala Malaysia apabila menewaskan Kelantan FC 10-0 (agregat 15-1), pada aksi kedua pusingan 16 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Sabtu.

Biarpun merehatkan beberapa pemain utama, namun skuad Harimau Selatan itu masih mampu mempamerkan aksi terbaik bagi mencatatkan kemenangan berkenaan biarpun memiliki bekalan selesa, 5-1 pada aksi pertama pusingan 16 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, 4 Ogos lalu.

Iklan
Iklan

JDT bermula garang sebaik wisel permulaan dan hampir membuka jaringan pada minit ke-5, namun percubaan penyerang import, Bergson Da Silva berjaya dikeluarkan benteng pertahanan pelawat walaupun penjaga gol, Muhammad Johan Shah Zidane Tendot Johari Tendot telah tertewas.

Skuad Harimau Selatan itu kemudian dilihat semakin hebat mengasak ke kubu pelawat, namun kebanyakan asakan berkenaan gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng lawan.

Iklan

Skuad kendalian Esteban Solari itu akhirnya berjaya membuka jaringan pada minit ke-20 menerusi Bergson yang berjaya melepasi kawalan pertahanan pelawat sebelum merembat melepasi jangkauan Muhammad Johan Shah Zidane.

Gol tersebut nyata menyemarakkan lagi semangat kesebelasan JDT untuk terus mengasak hebat ke gawang Kelantan FC dan hasilnya, penyerang import terbaharu dari Jepun, Takahiro Kunimoto menyumbat gol kedua pada minit ke-24.

Iklan

Takahiro kemudiannya membuktikan kemampuannya apabila mudah melepasi kawalan pertahanan pelawat sebelum menewaskan Muhammad Johan Shah Zidane untuk gol ketiga JDT pada minit ke-37.

Bergson kemudiannya menanduk masuk gol keempat pada minit ke-43, sekali gus menyaksikan skuad Harimau Selatan itu selesa memimpin perlawanan menuju ke bilik persalinan.

JDT meneruskan penguasaannya pada bab babak kedua dengan mengasak bertalu-talu ke gawang pelawat dan kali ini giliran Juan Muniz mencatatkan nama selaku penjaring apabila merembat masuk gol kelima hasil hantaran Arif Aiman Mohd Hanapi pada minit ke-53.

Pemain gantian, Daryl Sham K.K George kemudiannya menjaringkan gol ke enam pada minit ke-59 disusuli jaringan penyerang import, Heberty Fernandes pada minit ke-61 untuk gol ke tujuh.

Pemain sayap lincah, Arif Aiman turut mencatatkan nama selaku penjaring apabila meledak gol ke lapan pada minit ke-64.

Bergson kemudiannya mencatat hatrik apabila meledak gol ke sembilan pada minit ke-72 bagi meneruskan penguasaan dalam perlawanan berkenaan.

Pemain gantian, Ahmad Aysar Jadi Mohd Shapri kemudiannya melengkapkan kemarahan penuh gaya JDT apabila meledak gol ke-10 pada masa kecederaan.