KUALA KRAI - Demi mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara, seorang sarjan bersara tentera tidak pernah menyesali putus kaki kiri akibat terkena jerangkap samar ketika menentang komunis pada Jun 1978.
Mohd Noor Che Mat, 73, ketika itu berpangkat lans koperal yang bertugas di Rejimen Askar Melayu Diraja di Kem Sungai Ara, Pulau Pinang dan menyertai operasi di Gubir, Kedah.
Katanya, sewaktu dalam perjalanan pulang selepas menjejaki pengganas komunis di hutan tebal itu, pasukan pertahanan negara diserang hendap oleh musuh menyebabkan beberapa anggota tentera termasuk dirinya terpijak perangkap yang dipasang pihak lawan.
"Saya masih ingat letupan kuat daripada terpijak jerangkap samar itu menghancurkan but tentera yang dipakai.
"Saya melambung beberapa meter dan dalam keadaan sedar melihat kaki kiri berlumuran darah, putus pada paras betis dengan urat serta daging berjuraian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tengah, Batu Balai di sini, pada Sabtu.
Temubual bersama Mohd Noor itu dibantu oleh isterinya, Siti Hawa Daud, 67, menggunakan isyarat tangan kerana bapa kepada enam cahaya mata itu sudah tidak boleh bercakap dan melihat selain hanya terlantar selepas diserang penyakit saraf sejak tujuh tahun lalu.
Menurut Siti Hawa juga bekas guru tadika, ketika kejadian tersebut, dia berada di Melaka kerana menjalani kursus prapendidikan dan bergegas ke tempat Mohd Noor dirawat di Hospital Besar Alor Setar, Kedah bagi melihat keadaan lelaki terbabit.
Katanya, mereka ketika itu masih mengikat tali pertunangan dan rasa cinta yang tidak berbelah bahagi terhadap Mohd Noor menyebabkan dia mengambil keputusan meneruskan perkahwinan setahun selepas tunangnya itu sembuh.
"Saya antara saksi yang melihat semangatnya berkobar-kobar, tidak pernah terhenti dalam mempertahankan kedaulatan negara dan tidak pernah sesekali berasa sedih atas kejadian yang menimpanya walaupun terpaksa memotong sebelah kaki dan memakai kaki palsu.
"Dalam keadaan itu juga dan sebelum terlantar sakit, dia kerap menyampaikan ceramah motivasi di sekolah untuk memberitahu semua bahawa penting untuk kita memahami serta memelihara kemerdekaan negara ini,” katanya.
Ujar Siti Hawa, suaminya itu meneruskan perkhidmatan di bahagian pentadbiran tentera selama 16 tahun dengan sebelah kaki palsu dan terakhir di Markas Staf Stesen Kem Desa Pahlawan sebelum bersara pada tahun 1994 serta menerima pencen.
Wanita itu memberitahu, kebajikan Mohd Noor mendapat perhatian daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia yang menampung kos perbelanjaan susu khas, selain bantuan kewangan sekali sahaja berjumlah RM3,000 daripada Jabatan Kebajikan Malaysia sebelum ini.
"JHEV juga memberikan katil pesakit kepada suami yang sudah tidak dapat berjalan, melihat atau bercakap.
"Dia kini hanya boleh mendengar dan hanya ahli keluarga terdekat dapat berbual dengannya,” kata Siti Hawa.