SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan untuk menggantung darjah kebesaran kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor kerana berhadapan dengan pertuduhan di mahkamah.
Menurut Setiausaha Kerajaan Selangor merangkap Pendaftar Darjah Kebesaran Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya, penggantungan dan penarikan balik keahlian darjah kebesaran negeri Selangor itu atas titah perintah Sultan Selangor setelah berunding dengan Dewan di-Raja Selangor.
Jelas beliau, Najib telah dikurniakan Keahlian Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datuk Seri pada tahun 2004 dan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) Kelas Kedua yang membawa gelaran Datuk pada tahun 1992.
"Beliau telah didakwa di mahkamah di atas beberapa pertuduhan yang melibatkan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.
"Maka dengan ini, keahlian beliau sebagai penyandang darjah kebesaran SPMS dan DPMS adalah digantung berkuatkuasa 6 Mei sehingga kes perbicaraan dan rayuan yang melibatkan beliau selesai di mahkamah.
"Penggantungan gelaran dan penggunaan darjah kebesaran yang dikurniakan oleh Sultan Selangor ini akan disemak semula selepas kes dimuktamadkan di mahkamah," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Jelas beliau, penggantungan itu selaras dengan kuasa Sultan Selangor di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Statut Darjah Kebesaran yang berkaitan dan konvensi yang diamalkan di negeri Selangor.
Sementara itu, Mohd Amin berkata, Rosmah pula telah dikurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri pada tahun 2005.
"Beliau telah didakwa di mahkamah di atas beberapa pertuduhan yang melibatkan kes rasuah, pengubahan wang haram dan kes Lembaga Hasil Dalam Negeri.
"Maka dengan ini, keahlian beliau sebagai penyandang darjah kebesaran SPMS adalah digantung berkuatkuasa 6 Mei sehingga kes perbicaraan dan rayuan yang melibatkan beliau selesai di mahkamah," kata beliau.
Dalam pada itu, darjah kebesaran bekas Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Syarikat NGV Tech Sdn. Bhd. Zulkifli Shariff telah ditarik balik berkuatkuasa 6 Mei selepas beliau diisytiharkan bankrap oleh Jabatan Insolvensi.
Mohd Amin menjelaskan, Zulkifli telah dikurniakan Keahlian Darjah Kebesaran Datuk - Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) yang membawa gelaran Datuk pada tahun 2010.
"Maka dengan ini darjah kebesaran DSIS adalah ditarik balik dan dibatalkan memandangkan beliau adalah seorang yang tidak layak dan sesuai memegang darjah kebesaran ini.
"Justeru, beliau dilarang daripada menggunakan darjah kebesaran dan gelaran Datuk dan begitu juga mana-mana pihak lain ditegah daripada memanggil beliau menggunakan gelaran berkenaan," jelasnya.