PUTRAJAYA - Astro kini menawarkan 10 saluran yang didedikasi khas untuk kanak-kanak termasuk sebanyak 16,000 kandungan menarik di seleksi On Demand menerusi 'Home of Kids' sepanjang cuti sekolah sempena Bulan Kebangsaan.
Ia juga menyediakan ciri mod keselamatan 'Kids Friendly Profile' bagi membolehkan ibu bapa mengawal siaran yang diakses anak-anak.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Daryl Smith berkata, melalui ciri keselamatan itu, kanak-kanak tidak boleh menukar ke profil atau rancangan dewasa kerana ia dilindungi kata laluan (PIN), empat digit yang ditetapkan oleh ibu bapa.
"Ia sekali gus akan memberi ruang yang selamat untuk anak-anak menerokai serta menikmati rancangan kegemaran mereka.
"Ibu bapa juga tidak perlu bimbang kerana mereka boleh mengawal apa yang diakses oleh anak-anak.
"Ciri ini tersedia di Astro Ultra dan Ulti Box, Astro GO dan aplikasi Multiroom Smart TV," katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Kempen #DemiNegaraku dan Home of Kids di sini pada Sabtu.
Program itu turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti seperti Alif Satar, Jihan Muse, Hazama, Shiha Zikir, Wani Kayrie dan Sarah Suhairi.
Terdapat pelbagai rancangan baharu dan menarik di 'Home of Kids' antaranya, siri animasi superhero, Super Nabil; rancangan realiti, The Chosen One dan permainan dalam talian, Kidaverse Roblox Rumble Malaysia untuk pelajar sekolah.
Selain itu, Didi & Friends Kembara Muzikal untuk kanak-kanak prasekolah di Astro Ceria (Saluran 611) dan rancangan pendidikan seperti ScienceXplosion serta Mythbusters Jr menerusi Tutor TV (Saluran 603).
Tambah Euan, selain 'Home of Kids', pelanggan juga boleh menikmati dua saluran percuma iaitu #DemiNegaraku dan Ultraman.
"#DemiNegaraku di saluran 100, tersedia untuk pelanggan Astro dan NJOI bermula 20 Ogos hingga 17 September manakala Ultraman (saluran 400) bermula 20 Ogos hingga 30 September.
"Ia juga menawarkan siri dan filem terbaik yang diadaptasi daripada hero popular tersebut iaitu Ultraman Blazar, Ultraman Decker, Ultraman Decker Finale: Journey to Beyond, Ultra Galaxy Fight: The Destined Crossroad dan banyak lagi, turut tersedia untuk pelanggan TV sooka dan Pek Kids NJOI," ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, saluran #DemiNegaraku itu adalah sempena Bulan Kebangsaan, bagi membangkitkan semangat nasionalisme yang mana ia juga diinspirasi daripada semangat atlet muda negara.
"Antara kisah yang akan disiarkan adalah pemenang pingat emas Sukan SEA 2023, acara breaking), Lego Sam, Pavitrah (pemain muda terbaik sooka Liga Super Bola Jaring 2022), Mohd Rizzua Haizad (pelari berpagar Malaysia) dan Syaqiera Mashayikh (pemanah Malaysia peringkat kelayakan Sukan Olimpik 2022)," katanya.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pula memuji inisiatif 'Kids Friendly Profile' itu dan berkata, ibu bapa kini tidak perlu risau meninggalkan anak-anak menonton sendirian.
Jelasnya, ia menunjukkan komitmen penyiar media itu dalam memastikan anak-anak selamat daripada kandungan yang memudaratkan.
"Golongan muda ini merupakan pemimpin masa depan, maka nilai yang betul harus dipupuk serta dilindungi daripada kandungan yang tidak sesuai.
"Justeru, ibu bapa harus berwaspada dengan kandungan yang disiarkan di televisyen dan media sosial agar anak-anak terhindar daripada pengaruh negatif," katanya.