BINTANG sensasi, Neymar disambut penuh meriah oleh ribuan peminat Al-Hilal selepas menjadi pemain kelab dunia terbaharu menyertai Liga Pro Saudi.
Majlis memperkenalkan pemain Brazil itu secara rasmi diadakan di Stadium Antarabangsa Raja Fahd, Riyadh pada Sabtu.
Suasana di stadium dimeriahkan dengan percikan bunga api dan persembahan dron yang membentuk perkataan 'Neymar kini biru'.
Neymar diperkenalkan bersama dua lagi pemain yang baharu ditandatangani, Malcolm dan Yassine Bounou.
Pemain berusia 31 tahun itu adalah bintang terbaharu yang berpindah dari Eropah ke Arab Saudi selepas dia menamatkan karier enam tahunnya di Paris Saint-Germain (PSG).
Neymar memperoleh pendapatan lumayan apabila akan dibayar 314 juta pound (RM1.84 bilion) sepanjang tempoh dua tahun - atau 2.5 juta pound (RM14.64 juta) seminggu.
PSG akan menerima 78 juta pound (RM456.81 juta) daripada perjanjian tersebut dengan presidennya, Nasser Al-Khelaifi melabelkan Neymar sebagai legenda kelab.
"Sukar untuk mengucapkan selamat tinggal kepada legenda kelab, gelaran yang akan sentiasa bersama Neymar.
"Saya tidak akan lupakan hari dia tiba di PSG, atau apa yang dia sumbangkan kepada kelab dan projek kami sepanjang enam tahun ini,” ujar Al-Khelaifi.
Al-Hilal ketika ini dalam misi memburu penyerang Fulham, Aleksandar Mitrovic.