KOTA KINABALU - Tindakan Parti Maju Sabah (SAPP) menyindir parti dari Semenanjung tidak perlu bertanding di Sabah mengundang persoalan berhubung status parti itu sendiri yang dilihat turut berada dalam 'dua kolam'.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kenyataan Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee itu turut seperti menyindir MCA sebagai sebuah parti dari Semenanjung.
"Tetapi saya katakan, kalau kamu melihat rendah martabat parti dari Semenanjung kenapa pula kamu duduk dalam dua kolam.
"Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di sini nampaknya berdasarkan kepada ciri-ciri Sabah, pada waktu sama kamu juga sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN).
"Kamu pernah buat, tapi sekarang kamu kata saya boleh buat, kamu tak boleh buat, kenapa begitu?," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA Sabah di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Teck Lee baru-baru ini bahawa parti dari Semenanjung tidak patut bertanding pada pilihan raya di Sabah akan datang.
Ka Siong turut mempertahankan partinya walaupun ia berpengkalan di Semenanjung namun MCA Sabah tetap diberi autonomi.
"Dalam perkara ini, kita memberi autonomi kepada MCA Sabah. Jadi tiada isu. Pimpinan tertinggi tiada kata Wee Ka Siong jadi Pengerusi Sabah, tetap orang Sabah juga, memperjuangkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Boleh bersuara, tiada isu. Kita bagi kebebasan untuk mereka memilih bersama-sama berbincang dengan kita. Saya rasa setakat ini saya tidak nampak banyak isu dan kita banyak membincangkan tentang isu Sabah," katanya.