Berhibur di pusat hiburan: 13 pegawai, anggota polis ditahan tugas

Iklan
Ayob Khan- Foto Bernama.

GOMBAK - Seramai 13 anggota dan seorang pegawai kanan polis telah ditahan tugas selepas mereka diberkas dalam serbuan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman di sebuah pusat hiburan di Seremban, Negeri Sembilan, pada Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan telah diambil terhadap mereka ialah ditahan kerja.

Iklan
Iklan

"Kita juga sedang siapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada pejabat Peguam Negara," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Raudatul Sakinah, di sini, pada Ahad.

Ayob Khan hadir ke tanah perkuburan itu bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang maut dalam nahas pesawat Beechcraft 390 di Elmina, Shah Alam, Khamis lalu.

Iklan

Ayob Khan berkata, seorang timbalan pendakwa raya dan pendaftar mahkamah turut ditahan dalam serbuan pada awal pagi itu.

"13 anggota dan seorang pegawai polis serta dua penjawat awam yang ditahan positif dadah, manakala seorang lagi anggota yang negatif dadah dikenakan tindakan tatatertib," katanya.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau berkata kesemua anggota dan pegawai terbabit buat masa ini dilepaskan dengan jaminan polis sementara kertas siasatan dilengkapkan.

"Kita tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana individu yang kita tangkap dalam operasi pusat hiburan, kita akan ambil tindakan tegas.

"Boleh tengok rekod tahun ini, sebanyak 741 tindakan tatatertib diambil dan lebih kurang 60 (anggota dan pegawai) sudah dibuang kerja setakat Julai," katanya.

Beliau berkata, proses tatatertib berkenaan akan mengambil masa panjang dan meminta orang ramai tidak menganggap pihak polis melepaskan anggota dan pegawai terbabit tanpa tindakan.

"Mereka (suspek) diberi jaminan polis, itu proses biasa. Jangan tanya pula kenapa dibebaskan, itu proses biasa di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Walaupun saringan awal positif, kita akan hantar sampel kepada patologi yang mungkin akan ambil masa sebulan," katanya.

Ayob berkata, jika disabit kesalahan anggota dan pegawai terbabit boleh digantung kerja sementara rayuan dibuat di mahkamah.

Pada Sabtu, media melaporkan, seorang pegawai kanan dan 14 anggota polis ditahan bersama dua timbalan pendakwa raya ketika disyaki sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Dato Sheikh Ahmad di Seremban.

Semua pegawai dan 14 anggota yang ditahan itu bertugas di pelbagai jabatan termasuk Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Nilai dan Tampin, selain Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Seremban serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.